Ungkapan Rahsia Hati……

Sneak Peek one:

Pencarian dalam penantian Cinta sejati yang sesungguhnya sudah terangkum. Sesuatu yang tersembunyi di segenap ruang yang ada pada sekeping hati. Namun satu ungkapan itu tidak pernah terzahir di pengucapan, jauh sekali dilafazkan walau seluruh perbendaharaan kata di susun. Rahsia yang ada pada sekeping hati bagaikan satu anyaman kata di lautan perasaan. Masih betah tersimpan dan tersembunyi diruang paling dalam yang payah untuk dibongkar dalam penyelaman yang tak berpanduan.

Mainan emosi watak utamanya Nurul Izzah akan membawa pembaca menyelami sejalur perasaan bila tiba-tiba kekasih yang dicintai pergi tanpa sepatah kata. Bagaimana perit melalui hidup bagai pengemis yang setiap detik menadah harapan agar ditamu berita dari insan tersayang. Malangnya harapan yang dianyam memamah sekujur kekuatan dan kudrat gadisnya. Dia tewas dilambung ombak kegagalan. Akhirnya Nurul Izzah berpaut pada pasrah atas sebuah ketentuan. Dalam dia merancang, allah juga merancang dan dia sedar sebaik-baik perancangan dalam sebuah ketentuan dan ketetapan datang dari-Nya jua. Percaturan hidup yang sudah tertulis dalam sebuah perjanjian mana mungkin diingkari. Nurul Izzah melangkah jua…. Satu ketika dia dipertemukan dengan sebuah bahtera cinta yang membawa dirinya berlayar bersama seorang nakhoda. Malangnya tiba-tiba dia terhumban ke lautan duka. Badai kecurangan meranapkan layar setia hingga menyukarkan kemudi kasih untuk terus bertahan. Dia hampir-hampir kelemasan.

Tika terkapai-kapai ada yang hadir tanpa disangka. Menyelimuti dan menghangatkan kedinginan hati yang hampir membeku. Nurul Izzah kembali melihat jaluran pelangi tapi malangnya pelangi indah tetap bersifat sementara. Ia tetap hilang dari pandangan lantas Nurul Izzah kembali mencatur hidup yang kian suram. Mungkinkah akan ditemunya mentari yang akan memercikkan sinar kebahagiaan….. atau dia sememangnya telah ditakdirkan untuk selamanya berada dalam gerhana sebuah perasaan……. Mampukah Nurul Izzah bertahan…. Dapatkah ditemui kekasih yang sudah sekian lama menghilang…. Tersingkapkah hijap Ungkapan Rahsia yang sudah sekian lama terpatri pada sekeping hati….
.

‘Kenangan itu walau teramat pahit untuk diredah, tapi terlalu manis untuk dikenang. Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan yang akan menemani dikala rindu datang bertandang’


Apa kata aku: Syukur alhamdulillah... akhirnya apa yang selama ini sekadar menjadi penghias konti peribadi akan turut menjadi tatapan semua... [samada ada yang sudi membeli dan membaca atau sebaliknya, aku tidak pasti...] Sebenarnya rasa malu hatta segan untuk memuatkan N3 ini benar-benar aku rasakan, tapi atas desakan insan yang rapat denganku akhirnya aku beranikan jua. Katanya 'Kalau orang tak tahu, bagaimana orang nak nilai dan lagi bukan hak awak untuk menghakimi apa yang dah awak lakukan. Bukan lagi tugas awak kerana tugas awak sebenarnya dah selesai untuk assignment yang ini, so jangan fikir sangat....' Amboi! Senangnya cakap jangan fikir... dia tak tahu aku dah tak boleh nak tidor malam walaupun memang aku ni suka jadi burung antu, tapi kali ini memang aku rasa keresahan dan kebimbangnya.... Apa pun aku tetap sedar, aku masih terlalu baru dalam dunia yang memang aku kenali ini. Banyak yang perlu aku pelajari dan mohon minta ditunjuk ajar.... malah yang paling aku maklum, aku tak mungkin mampu untuk memuaskan selera semua pihak..... tapi aku sekadar mencuba untuk memberi yang terbaik dan sebaik mungkin...... jadi nantikan kemunculan Buah Cinta aku ni di pasaran... insyaAllah andai segalanya dipermudahkan oleh-Nya mungkin di awal bulan April ini nanti.... moga teman-teman yang aku sayangi dapat memberikan sokongan.... Belilah barangan buatan MALAYSIA.... :-) Promosi yang tak perlukan bayaran...... ;-)

0 Ulasan: