Sesuci Embun Kasih

Sebahagian dari manuskrip Sesuci Embun Kasih @ SEK

Hari yang dinantikan tiba jua. Sebuah bas persiaran yang disewa khas sudah siap menanti untuk membawa staff dari Teras Chemara ke Coral Island. Maira Atisya juga akan turut sama. Itupun setelah puas Nancy, Thania dan Laura memujuknya. Bukan dia tiak mahu ikut sama, tapi bila memikirkan akan kehadiran Alia Natasya, hatinya jadi tawar. Bagai dapat merasakan sesuatu yang kurang enak pasti akan berlaku nanti.

Tepat jam 10.00 malam, kesemua yang menyertai rombongan itu sudah berhimpun dihadapan bagunan Teras Chemara. Semuanya kelihatan begitu santai dengan pakaian masing-masing. Maira Atisya tercari-cari kelibat teman-temannya. Dari jauh dia melihat Laura melambaikan tangan. Sebuah senyuman di hadiahkan pada temannya itu. Perlahan-lahan dia mengatur langkah ke arah gadis genit yang kelihatan sibuk mencatatkan sesuatu pada fail yang dipegangnya.

“Hai! Sibuk nampak. Mana yang lain?” tegur Maira Atisya tersenyum. Laura merenung Maira Atisya dari atas hingga ke bawah. Penampilan yang agak berbeza dari biasa menarik minatnya.

“Hey! Kenapa you pandang I macam tak pernah jumpa I? Is that anything wrong with me tonight?,” tanya Maira Atisya hairan. Tanpa sedar dia juga turut sama membelek dirinya.

You look different. Ranggi but sweet, like college student,” komen Laura. Dia tertawa bila terlihat Maira Atisya masih membelek dirinya sendiri.

Malam itu Maira Atisya mengenakan jeans hitam dipadankan dengan Tshirt lengan panjang berwarna navy blue. Tudungnya juga dari warna yang sama. Dia mengenakan sports shoes berjenama Sneaker sebagai pelengkap penampilannya. Jaket Denim terikat kemas di pinggangnya.

Wajah gadis itu bernona kemerahan bila mengetahui apa yang difikirkan oleh temannya itu. Tidak disangka sebegitu komen yang akan diterimanya dari apa yang dipakainya malam itu.

“Eh Maira! I ingatkan sapa tadi. Wah! Lainnya you malam ni.” Thania dan Nancy yang baru menyertai mereka terus sahaja memusing-musingkan tubuh gadis itu. Keriuhan suara mereka mula menarik perhatian teman-teman sekerja yang lain untuk mengetahui apayang sedang berlaku. Mereka semua kaget menyaksikan penampilan Maira Atisya yang sunggu-sungguh berbeza dari apa yang mereka lihat sebelum ini.

“Ala! Kalau setakad baju dan gaya yang macam tu, tak ada apa yang perlu diherankan. Ingatkan apalah yang havoc sangat tadi. Rupanya tengok budak kampung baru belajar pakai pakaian macam ni.” terdengar sindiran Alia Natasya. Memek wajahnya jelas menampakkan rasa jelek bila rakan-rakan sekerja memuji Maira Atisya. Hatinya cemburu dengan segala perhatian yang diperolehi oleh kembarnya itu.

“Apa yang dipakai oleh Maira Atisya kena dengan tempat dan situasi. Lagi pun dia tahu di mana dan bagaimana harus menyesuaikan diri dengan apa yang diperagakannya. Awak tak sejuk ke Alia dengan T-Shirt tak berlengan dan seluar three quater yang awak pakai tu? Jangan complain kalau penghawa dingin dalam bas tu buat awak sejuk.” Semua mata beralih bila terdengar suara Fizz Haizal di belakang Nancy. Sebenarnya tika dia tiba di situ tadi, dia terdengar akan kekecohan yang berlaku. Pada sangkaannya tentu mereka sibuk untuk mengesahkan kehadiran, tapi bila terdengar kata-kata sinis Alia Natasya, dia dapat menelah apa yang sebenarnya terjadi. Matanya sempat menyorot ke wajah Maira Atisya yang sudah tunduk. Itulah kelaziman gadis itu. Tidak pernah sekali pun mahu menentang kekerasan atau hamburan kata-kata yang dilemparkan oleh kakak kembarnya. Lebih tega berdiam diri.

“Semua dah sahkan kehadiran?” soal Fizz Haizal tegas. Keadaan yang agak tegang itu harus segera diatasi dengan cara yang bijak.

“Sudah boss,” sahut mereka serentak.

“Okey, kalau sudah, saya mahu semuanya ambil tempat duduk di dalam bas. Beg yang dibawa letakkan di tempat yang telah disediakan. Ingat seat di bahagian belakang lebih dikhususkan pada ahli jawatankuasa. Sekarang semua boleh bergerak,” arah Fizz Haizal tegas.

Semua yang ada di situ mula mengikut apa yang diarahkan oleh anak muda itu. Tika Maira Atisya ingin melangkah, terasa tangannya dipegang. Alangkah terkejutnya dia bila terlihat tangan yang sedang memegang tangannya itu milik Fizz Haizal. Bulat matanya mengisyaratkan tanda protes akan perlakuan anak muda itu. Dia cuba melepasi tapi malangnya pegangan itu begitu kemas di tangannya. Maira Atisya mengetap bibir menahan rasa yang mula menjengah.

“Sorry, saya hanya nak ajak Atisya jumpa seseorang,” ucap Fizz Haizal tenang. Mata kuyunya memanah sebening mata milik gadis itu.

“Saya tak punya pilihan kan bilamana tangan saya begitu kemas dalam tautan tangan encik. Apapun, rasanya saya masih boleh berjalan mengikut langkah yang encik aturkan tanpa sebarang bantuan,” sindir Maira Atisya. Segera direntap tangannya dari terus berada di pegangan anak muda itu. Fizz Haizal tetawa kecil.

“Atisya sindir saya yer,” tanyanya bersama sisa tawa yang masih berbasi.

"Daddy, mummy. Ini Fizz kenalkan Maira Atisya. Daddy tentu dah kenal kan. Maira, inilah orang tua saya," Fizz Haizal tertawa bila terlihat wajah merona gadis di sebelahnya. Dia tahu Maira Atisya tidak menduga akan situasi sebegitu.

"Apa khabar Tuan, Puan," tegur Maira Atisya gugup sambil menghulurkan tanganya bersalaman dengan Puan Nor Hanna. Pada Tuan Zakri, dia sekadar menundukkan kepalanya tanda hormat. Takut juga untuk menentang pandang ke wajah chairman Teras Chemara itu.

"Khabar baik. Well Hanna! Nampaknya impian awak untuk melihat bakal menantu awak dah terkabul. Cantik orangnya. Pandai anak awak ni memilih," giat Tuan Zakri sambil tertawa. Dia cukup senang melihat wajah lembut Maira Atisya. Puan Nor Hanna sekadar tersenyum sambil melirik pandang ke arah Fizz Haizal yang sudah mula tersengeh-sengeh.

"Maira, makcik harap Maira dapat tengok-tengokkan Fizz sepanjang berada di pulau itu nanti. Dia ni kalau dah dapat scuba dan snokling, benda lain pun dia tak akan ingat. Makcik takut kalau dia turut lupa untuk makan ubat sepertimana yang tercatat pada paket ni." Puan Nor Hanna menyerahkan beberapa paket ubat pada Maira Atisya. Teragak-agak disambutnya sambil mata melirik ke arah Fizz Haizal.

"Mummy, Fizz dah dewasa dan boleh jaga diri Fizz sendiri. Tak perlulah Mummy bebankan Atisya dengan semua ni," bantah Fizz Haizal tidak setuju. Dia sendiri terkejut dengan tindakan Puan Nor Hanna itu.

"Maafkan makcik Maira. Fizz ni kalau tak ada orang ingat atau leterkan, memanglah dia suka sangat. Sebenarnya dia tak berapa sihat. Kalau ikutkan makcik, memang makcik keberatan untuk benarkan dia pergi, tapi dia ni degil. Hati makcik akan rasa senang sikit kalau Maira sudi tolong makcik untuk tengok-tengok dan ingatkan dia pasal ubat ni," terang Puan Nor Hanna sambil mengusap-ngusap tangan gadis itu. Hatinya berkenan melihat wajah lembut milik gadis yang diperkenalkan oleh anak bujangnya. Dia tahu ini bukan sekadar kawan biasa. Melihat dari riak riang yang terpancar di wajah Fizz Haizal, dia sudah mampu membuat andaian sendiri.

"Tak apa Puan. InsyaAllah, saya akan tengok-tengokkan Encik Haizal dan pastikan dia makan ubat mengikut apa yang telah ditetapkan." Secara tidak langsung Maira Atisya menyimpul janji. Bersetuju menggalas amanah yang diberikan kepadanya.

"Alhamdulillah. Terima kasih Maira. Barulah lega hati makcik nak lepaskan Fizz. Jika tidak, boleh tak lena tidur dibuatnya. Terima kasih sekali lagi. Makcik yakin kalau dengan Maira, tidak sampai ke mana degil Fizz ni. Dia akan ikut cakap Maira." Puan Nor Hanna tersenyum girang sambil melemparkan pandangan ke arah suaminya yang turut sama menguntum senyuman.

"Puan, saya minta diri dulu. Mereka dah gamit tu. Nanti lewat bertolak, lewat pulak kami sampai." Maira Atisya menghulurkan tangan untuk bersalaman sebelum melangkah. Fizz Haizal turut berbuat perkara yang sama.

"Maira…." panggilan Puan Nor Hanna memaku langkah yang baru beberapa tapak diatur.
Wanita itu menghampirinya. Wajah tenang Maira Atisya diusapnya lembut sebelum kedua pipinya disinggahi oleh kucupan dari Puan Nor Hanna sambil tubuhnya diraih ke dalam pelukan wanita itu. Kaget Maira Atisya dengan perlakukan sedemikian sementara Tuan Zakri dan Fizz Haizal tersenyum-senyum. Satu permulaan yang baik untuk langkah seterusnya.

"Jaga diri baik-baik smasa di sana nak," pesan Puan Nor Hanna sambil mengucup dahi Maira Atisya sebelum melepaskan gadis itu pergi. Entah mengapa hatinya tumpah kasih biarpun baru sahaja mengenali gadis yang diperkenalkan oleh Fizz Haizal itu.

Tanpa mereka sedari ada yang sedang memerhati dengan perasaan benci dan dendam yang semakin membara. Alia Natasya mengetap bibir. Geram dan marahnya terhimpun di hati. Dia memanjat tangga bas lantas menghenyakkan tubuhnya di sebelah Azmi. Mulutnya masih mengomel tanpa butir bicara yang difahami oleh sesiapa pun.

"You ni kenapa Alia? You bengang dengan sapa?" Azmi memberanikan diri untuk bertanya. Wajah kelat gadis di sebelahnya ditatap.

"Dengan sapa lagi kalau tidak dengan budak kampung tu. Meluat I. Tengoklah tu, asyik berkepit dengan Fizz Haizal. Tak bermaruah betul," cemuh Alia Natasya. Rokok yang tersepit di bibir anak muda itu disambar lantas di pindahkan ke bibirnya. Disedutnya rakus seolah mencari penawar pada rasa sakit di hati yang mula merebak kian jauh.

"Sorry Thania, saya lambat. Maaf kawan-kawan semua." Ucap Maira Atisya sebaik sahaja berada di dalam perut bas itu.

"Engkau fikir maaf engkau tu boleh bawak bas ini bergerak ke? Lain kali kalau nak buat sessi kenal mesra dengan bakal mak mertua, cari waktu lain. Bukannya sekarang. Menyusahkan orang betullah engkau ni." Alia Natasya menghamburkan kata-kata amarah. Puas rasa hatinya bila semua mata memanah ke wajah Maira Atisya yang masih tegak di tempatnya.

"Tempat yang kita nak pergi tu tak lari ke mana pun. Lagi pun bukannya lewat sangat. Masih lagi dalam waktu yang dah kita tetapkan. Well, ada sesiapa yang tak puashati ke?" terdengar suara Fizz Haizal keras. Matanya sudah melekat ke wajah Alia Natasya. Kalau di ikutkan rasa hati, mahu sahaja dihumbannya tubuh gadis itu keluar dari bas itu. Sakit rasa hatinya mendengarkan kata-kata kesat yagn ditujukan pada Maira Atisya sebentar tadi.
Semuanya membisu. Mereka sedar darjah kemarahan Fizz Haizal sudah mula naik Cara yang terbaik menurunkan kembali suhu tersebut adalah dengan berdiam.

Fizz Haizal menapak ke seat yang dikosongkan disebelah Emil Rozaiman. Masih sempat direnungnya Alia Natasya yang sekadar mempamirkan wajah selamba kodok tanpa rasa bersalah dengan apa yang telah dilakukannya. Tepat jam 11.30 malam, bas mula bergerak meninggalkan bangunan Teras Chemara menuju ke destinasi. Lampu yang ada sekadar di pasang malap agar tidak mengganggu andai ada yang ingin memulakan peraduan. Maira Atisya melemparkan pandangan pada kelam malam di luar tingkap. Kerdipan cahaya neon yang menghiasi perjalanan bagai manggamit satu panorama yang mengasyikkan. Dikerling sekilas pada Thania yang sedang leka membelek jadual di tangan. Dalam diam dia kagum dengan sikap committed yang ditunjukkan oleh temannya itu. Maira Atisya menyumbat telinganya dengan hearphone. Alunan lagu-lagu dari mp3 yang dibawa mula menemani dirinya sepanjang perjalanan yang masih jauh dari destinasi yang ingin mereka tuju.

0 Ulasan: