Sesuci Embun Kasih

Continue Sesuci Embun Kasih @SEK

BEBERAPA hari Maira Atisya berfikir dan akhirnya dia nekad, permasalahan yang dihadapi harus ditangani walau dengan apa cara sekali pun. Pagi itu dia cuba menghubungi Encik Kamal Hazrul, Finance Manager di Chempakaraya. Lama dia menanti dan akhirnya…

“Morning. May I speak with Encik Kamal Hazrul please,” ucap Maira Atisya sebaik sahaja komunikasi dua hala bertaut.

“May I know who’s on the line?” tanya suara di sebelah sana.

“I’m Maira Atisya from Teres Chemara,” Maira Atisya memperkenalkan dirinya.

“One moment,” balas suara tadi sambil menyambungkan talian.

“Yes Maira, what can I help you my dear,” terdengar ramah suara yang menyapa.

“Encik Kamal Hazrul?” Maira Atisya bertanya. Bagai tidak percaya mendengar keramahan suara yang menyapa, membuatkan dirinya dipagut rasa ragu-ragu.

“Iyer saya. Ada apa-apa yang awak nak bicarakan dengan saya ke?” tanya anak muda itu. Terdengar tawa kecil di hujung kata-katanya. Mungkin lucu dengan sikap Maira Atisya seketika tadi.

“Sebenarnya begini …” Maira Atisya menarik nafas. Mengumpul segala kekuatan untuk menyatakan apa yang sudah bercanda di minda. “Sebelum tu saya nak minta maaf. Sebenarnya cheque Tax Fees untuk Teras Chemara yang encik berikan melalui Cik Alia Natasya telah hilang. Kalau boleh, saya nak minta tolong dari encik batalkan cheque tersebut dan issue yang baru. Semuanya salah saya… saya terlupa di mana saya letakkan cheque tersebut. Saya dah cari di serata tempat, malangnya saya gagal menemuinya,” terang Maira Atisya perlahan. Segala yang sudah terangka di minda disampaikannya tanpa berselindung. Dia sedar, dalam situasi begini, dia harus bersedia menerima apa jua tindakan atau kata-kata dari clientnya itu.

Terdengar anak muda itu mengeluh… mungkin tidak menduga akan berhadapan dengan permasalahan sebegini.

“Encik, saya minta maaf sebab menyusahkan encik dan saya sedia tanggung kos pembatalan cheque tersebut,” ucap Maira Atisya kembali bila menyedari anak muda itu tidak memberikan sebarang reaksi.

“Apa yang saya dapat kalau saya tolong awak? Setakad awak nak tanggung kos pembatalan, rasanya tak berbaloi,” tanya Kamal Hazrul selamba. Dia mula berjual beli dengan gadis itu.

Maira Atisya menarik nafas. Apa maksud anak muda itu sebenarnya. Hatinya mula diserang rasa kurang enak.

“Apa maksud encik, apa yang encik mahu dari saya?” Diberanikan diri untuk bertanya. Dalam hati dia berdoa agar permintaan anak muda itu bukanlah tergolong dalam kategori yang bukan-bukan.

“Erm, apa yang awak mampu beri?” soal Kamal Hazrul perlahan. Bibirnya sudah mengorak senyuman. Terasa apa yang direncanakan bakal terlaksana.

“Saya bukan dari golongan yang lahir dalam dulang emas, jadi saya tak mampu nak balas pertolongan encik dengan imbuhan yang besar,” terang Maira Atisya.

Terdengar Kamal Hazrul tertawa. Entah apa yang mencuit tangkai hatinya dengan penerangan Maira Atisya sebentar tadi.

“Awak ni… ada saya kata nak minta awak balas dengan imbuhan… itu rasuah namanya Cik Maira. Beginilah, saya boleh tolong awak dengan syarat awak kena keluar dinner dengan saya. Amacam? Awak setuju?” tanya Kamal Hazrul. Maira Atisya terkedu. Keluar dinner dengan dia? Aduh! Macamana ni… aku bukannya kenal dia, tapi kalau aku tolak bermakna makin lama lagilah masalah ini. Erm apa yang harus aku buat sekarang?? Hati Maira Atisya bermonolog sendiri. Menimbang cara permintaan luar duga dari anak muda itu.

“Helo Cik Maira... It’s okey. Awak fikirkan dahulu. Kalau awak setuju, awak contact saya semula. Saya cadang kita keluar dinner malam minggu. At least saya dapat kenal awak dan awak juga boleh kenal saya. Tidaklah awak sekadar mendengar cerita yang tidak elok sahaja tentang diri saya ini. Erm, can I have you contact number… I mean your handphone,” suara anak muda itu mengejutkan Maira Atisya. Perancangan bagai sudah diatur malah dia juga berani meminta nombor telefonnya.

“Err... saya akan contact Encik Kamal nanti kalau saya setuju. Paling lewat pun hari Jumaat,” Maira Atisya menyimpul janji dalam alasan yang direkanya. Dia perlu menimbangkan segalanya dari segala sudut. Tidak mahu tersilap langkah biarpun kerisauan terhadap masalah yang menimpa diri masih lagi belum selesai.

“Okey. Up to you my dear. I will be waiting for that. I need to go now. Have a meeting with your big shoot. Catch up with you later than,” ucap anak muda itu riang sebelum mengakhiri perbualan.

Maira Atisya terkedu… bagaimana dia boleh lupa yang Fizz Haizal ada mesyuarat di Chempakaraya hari ini. Aduh! Kalaulah anak muda itu tahu, bagaimana agaknya reaksi yang bakal terzahir??? Tapi bukankah Fizz Haizal sudah menyatakan dia tidak mahu tahu bagaimana Maira Atisya menyelesaikan permasalahan yang timbul itu. Ah! Maira Atisya mengeluh sendiri… membuat diskusi antara hati dan fikiran. Perlahan-lahan gagang yang sudah lama bisu diletakkan kembali ke tempatnya. Bagaimana kalau anak muda itu tidak mahu bekerjasama dengannya... tidak mahu menolong, jawabnya dia haruslah bertanggungjawab sepenuhnya keatas apa yang telah terjadi. Namun benarkah cheque itu diserahkan oleh Alia Natasya kepadanya... Maira Atisya buntu.

“Hai Maira! Jauhnya engkau mengelamun.? Tak kan che abang keluar meeting pun dah termenung,” sakat Balqis sambil ketawa. Sedari tadi diperhatikan gadis itu bagai tenggelam dalam dunianya sendiri.

“Banyaklah engkau punya mengelamun. Tak ada maknanya aku nak fikirkan pasal boss engkau tu. Ada perkara yang lebih penting dari dia yang harus aku berikan perhatian dan fikirkan penyelesaiannya,” Maira Atisya menjeling Balqis yang masih galak mentertawakan dirinya.

“Balqis, aku risaulah. Aku…,” adu Maira Atisya sayu. Dia benar-benar buntu memikirkan segala yang sedang dihadapinya kini.

“Pasal cheque yang hilang tu…” potong Balqis sebelum sempat gadis itu menyudahkan kata. Dia mengeluh.

“Aku rasa peliklah Maira. Macamana boleh hilang. Selama ini tak pernah pun jadi macam tu. Engkau bukan jenis yang buat kerja aci main buat saja, tapi kali ini…” Balqis menggantungkan ayatnya. Wajah gadis itu ditatapnya.

“Aku pun dah tak tahu nak kata apa lagi Balqis. Fizz pulak macam letakkan 150% kesalahan keatas diri aku. So mahu atau tidak, aku kenalah selesaikan masalah ni walau dengan apa cara sekali pun,” jelas Maira Atisya. Sebuah keluhan akhirnya terlepas jua dari bibir comelnya.

“Maksud engkau…” Balqis inginkan penjelasan. Masih kabur dengan penerangan tidak terperinci itu.

“Means’ either client willing to issue another one or I have to paid for that,”

“What??? Banyak tu Maira… RM20 ribu.” Wajah murung gadis itu ditatapnya. “Tak kan Fizz sekejam itu suruh engkau bayar semuanya,” tanya Balqis tidak percaya.

“Entahlah Balqis. Aku pun tak tahu, tapi kalau client tak mahu issue cheque yang baru maknanya aku tak ada pilihan. Kenalah aku bayar. Mungkin secara ansuran bulanan kut. Ala! Macam di Court Mammoth tu,” Maira Atisya sempat berlucu.

“Banyaklah engkau punya Court Mammoth. Isy apa punya pakwelah si Fizz tu. Ada hati dan perut, tapi tak tahu gunakan. Ada ke suruh si chenta hati yang bayar,” bebel Balqis.

“Helo kawan! Bila masa pulak dia tu jadi pakwe aku. Cakap... ikut sedap rasa jer yer. Dengar dek orang lain, tak pasal jadi isu,” tegur Maira Atisya. Balqis sudah mengekek tawa.

“Eh! Bukan ke?”, provoknya dengan tawa yang masih bersisa. Melihat wajah Maira Atisya yang sudah berona itu cukup membuatkan hatinya merasa lapang.

“Isy engkau ni…,”

“Habis tu… tak betul ke apa yang aku cakap? Sebekas ikan semilang dekat pasar, semuanya dah tak ada sengat Maira. Engkau mungkin boleh kelentong atau merekacipta dalih dengan orang lain, tapi bukan dengan aku. Sejak awal lagi aku tahu Fizz memang suka dengan engkau. Tak kan engkau lupa macamana keadaan dia masa korang terjebak dalam perang dingin suam ala-ala konfrantasi tak rasmi dulu. Tak senang duduk mamat tu mengalahkan cacing dalam microwave jer,” Balqis mula membuka kotak memory lama. Tidak mahu mengalah dengan usikannya.

Maira Atisya sekadar menjeling. Tidak gemar mendengar apa yang diperkatakan oleh temannya itu. Kalau boleh dia tidak mahu mengingati apa yang pernah terjadi dahulu. Biarlah segalanya terus berkubur tanpa ada nisan dan liangnya.

Tiba-tiba segaris senyuman tersunggil di bibir mulusnya. Entah mengapa dia bagai dibawa kembali ke waktu itu. Ah! Bukan hanya Fizz Haizal yang tidak betah dengan situasi yang mereka hadapi sebaliknya dia nanar dalam penasaran deraan sekeping hati. Sesungguhnya kejadian itu punya hikmah yang tersendiri. Ianya menyedarkan mereka lantas merapatkan jurang yang ada di dalam hati masing-masing. Meski hingga ke saat ini mereka tidak pernah mahu mengakui apa yang mereka rasa namun mereka juga tidak mampu menolak sentuhan lembut sebuah perasaan.

“Senyum sorang-sorang makruh hukumnya cik kak oooiii. Apa kata kalau Maira share dengan abang. Barulah sama-sama dapat pahala,” sergah Emil Roziman. Entah dari mana datangnya tak siapa pun tahu.

Pantas wajah Maira Atisya berubah. Cemberut dengan sergahan yang telah meranapkan jaringan kenangannya sebentar tadi. Mamat ni memang tak boleh tengok aku senanglah. Ada sahaja idea nak mengusik. Hati Maira Atisya mengomel sendiri.

“Buatlah selalu muka macam jeruk amra tak cukup masak tu. Tak da nya elok,” komen Emil Roziman bila melihat wajah cemberut dan masam kelat gadis di hadapannya. Balqis sudah tersengeh melihat aksi keduanya.

“Ha! Yang engkau tak berhenti menyengih ni kenapa?” sergah Maira Atisya pada Balqis membuatkan gadis itu akhirnya memuntahkan tawa. Emil Roziman turut sama tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Ni kenapa ni Maira. Tak kan sebab terputus siaran terus menerus dah nak marah. Come onlah… Astro pun kalau hujan tak dapat siaran tau. Maxis broadband pun adakalanya tak ada signal juga. Jadi-jadilah berangan tu. Kejap lagi baliklah dia. Ha! Masa tu adaplah muka dia,” sakat Emil Roziman makin hebat bersama sisa tawa yang masih kedengaran.

“Sapa yang nak adap muka dia... tak ada faedahnya,” gumam Maira Atisya perlahan. Hatinya membengkak dengan gurauan tak produktif anak muda itu. Satu jelingan maut dihadiahkan tanpa pinta.

“Emil, engkau dengan Maira ni kan tak boleh bertemulah. Kalau bertemu ada saja idea engkau nak sakat dia. Dahlah. Kesian aku tengok muka yang dah mendung tu. Nanti kalau hujan, kita juga yang susah,” ucap Balqis. Sudah terbias arakan mendung di wajah gadis itu.

“Budak cengeng... usik sikit dah nak hujan... Sejak bila masukkan diri dalam kategori goldt ni?” tanya Emil Roziman selamba. Dia sudah mula melabuhkan duduk di kerusi kosong yang ada di sebelah gadis itu.

“Goldt??? Apa kemendanya tu??” Balqis dan Maira Atisya sama-sama bertanya. Wajah keduanya sudah berkerut.

“Tadi buat muka buah amra tak cukup masak, ni buat pulak muka prune kedut... Apalah korang berdua ni. Goldt tu maknanya Golongan Orang Lemah Daya Tahan. Ada erti ka...,” senyuman sudah teracah di bibir anak muda itu. Maira Atisya mencebik. Ada sahaja idea dalam membuat istilah baru yang tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana pihak.

Tanpa sedar terlepas sebuah keluahan dari ulas bibir gadis itu. Ingatan kembali pada perbualannya dengan Kamal Hazrul sebentar tadi.

“Kenapa ni Maira... tiba-tiba mengeluh. Maira ada masalah ke?” tanya Emil Roziman. Wajah gadis itu disapa dengan sebuah pandangan penuh tandatanya.

“Tak ada apa-apalah bang. Maira risau pasal cheque yang dah sah-sah hilang tu,” dalih Maira Atisya. Terasa enggan bercerita apa yang telah berlaku.

“Betul ni... hanya pasal cheque. Bukan pasal benda lain?” tekan anak muda itu. Dari raut wajah yang disapa itu tidak sukar baginya mengesan riak yang cuba disembunyikan. “Baik Maira cakap, lagi pun Maira tak ada telent untuk jadi seorang penyorok kebenaran,” sindirnya bersama senyuman sinis. Balqis sudah pun kembali semula ke mejanya bila sahaja terdengar telefonnya berdering.

“Mana ada Maira sembunyi apa-apa. Abang ingat Maira ni Misya Omar ke... nak nyanyi lagu Sembunyi,”

“Kalau Maira tahu liriknya, apa salah. Kita duet. Mesti havockan... ala macam...,” anak muda itu tidak mahu berundur dari gelanggang usikan yang sudah terbuka.

“Abang jangan nak mengada. Ni dok mengendeng kat meja orang, apa dah tak ada kerja ke? Sat lagi balik Fizz baru tahu,”

“Kan abang tengah buat kerja ni... tengok dan jaga Maira. Itu pun salah satu kerja baru abang yang diamanahkan oleh Fizz kalau dia tak ada di office. Manalah tahu si buah hati main mata dengan orang lain. Jadi abang diberi mandat untuk menghalang perlakuan yang boleh membawa kepada kecurangan Maira terhadap dirinya. Ada faham ka kicik,” sakat Emil Roziman. Maira Atisya sekadar menjeling. Ada sahaja idea mamat ni nak mematah ranapkan hujahnya.

Entah kenapa dia kembali termenung. “Tadi Maira contact Encik Kamal Hazrul, Finance Manager di Chempakaraya. Dia kata dia nak jumpa Maira untuk selesaikan isu cheque yang hilang tu, tapi…”

WHAT!!! Maira contact si Kamal tu?? Maira sedar tak apa yang Maira dah buat?? Fizz tahu??” bertubi-tubi Emil Roziman menerpa dengan serangan soalan sebelum gadis itu sempat menoktahkan kata. Dia benar-benar terkejut. Bulat matanya meratah wajah lembut dihadapannya. Pantas dia bangun sambil berjalan mundar mandir lagak askar yang ketagih untuk berkawat. Berkali-kali tangannya mengusap pangkal tengkok meredakan resah dan gelisah yang mula memukul jantung hatinya sedang Maira Atisya terkulat-kulat menyaksikan perlakuan anak muda itu yang langsung terkeluar dari pemahamannya.

“Jadi, Maira setuju nak keluar dengan dia??” tanya anak muda itu inginkan kepastian. Wajah Maira Atisya ditentangnya.

“Maira belum buat keputusan, tapi kenapa abang nampak macam marah sangat? Maira bukannya sengaja atau suka-suka nak jumpa dia. Nak selesaikan masalah. Mana tahu dia sudi issue cheque lain sebagai ganti cheque yang hilang tu,” Maira Atisya memberikan penjelasan. Dia benar-benar tidak nampak apa salahnya dengan tindakan yang diambilnya itu.

“Yakin ke masalah akan selesai? Jangan-jangan akan timbul masalah lain pulak,” ngomel anak muda itu perlahan tapi masih mampu sampai ke pendengaran gadis yang duduk di sebelahnya.

“Apa maksud abang? Maira….”

“Emil, Fizz on the line. Dia nak cakap dengan you. Urgent katanya. Nak I sambungkan ke tempat Maira atau you nak jawab dari tempat you?” tiba-tiba Balqis muncul menyampaikan pesanan sekali gus memutuskan perbualan keduanya.

“Sambung ke tempat I,” arah anak muda itu lantas berlalu ke tempatnya tanpa menoleh meninggalkan Maira Atisya terkapai-kapai. Balqis bergegas kembali ke tempatnya semula.

Maira Atisya sekadar mampu menghantar langkah anak muda itu dengan pandangan seribu kemusykilan. Mindanya tidak berdaya membuat penafsiran apa sebenarnya yang cuba disampaikan.. Macamanalah masalah nak selesai kalau begini keadaannya… keluh Maira Atisya akhirnya...

0 Ulasan: