Sesuci Embun Kasih

Continue Sesuci Embun Kasih @SEK

“ENGKAU ni kenapa ha! Cheque sekeping macam tu pun tak boleh nak jaga. Macamana boleh hilang? Itulah. Orang datang pejabat untuk bekerja, bukannya menari dan bersukaria. Dah tu bercinta, kerja habis semua tunggang langgang. Sekarang ni macamana?” Melantun suara herdikan Alia Natasya berkumandang. Wajahnya menyinga meratah wajah Maira Atisya yang kaku dihadapannya.

“Maafkan saya Kak Tasya. Bukan saya sengaja nak hilangkan cheque tu. Saya….”

“Dekat sini tak payah nak berkakak-kakak dengan aku. Tak payah nak tunjuk yang konon engkau tu beradab sangat. Nak tunjuk baik,” tempelak Alia Natasya garang sebelum sempat Maira Atisya menghabiskan kata. Dijeling wajah yang terkulat-kulat mendengar kata-katanya. Memang sengaja dia meninggikan suara malah hasratnya supaya seluruh bahagian kewangan tahu akan kesalahan yang telah dilakukan oleh gadis itu. Lebih bagus kalau ianya sampai ke pengetahuan Fizz Haizal, akan menjadi lebih mudah kerjanya untuk mendekati anak muda itu.

“Maaf Cik Alia Natasya,” perlahan suara Maira Atisya. Dalam hati tidak putus dia bertasbih memohon diperkuatkan dirinya untuk menghadapi situasi tegang itu.

“Itu sahajalah yang engkau tahu. Tiap kali buat salah minta maaf. Apa! Engkau fikir dengan maaf engkau tu, cheque yang hilang boleh melayang dan jatuh atas meja engkau ni?” tembak Alia Natasya lagi. Maira Atisya membisu. Dia sedar walau apa penjelasan yang diberikan, mana mungkin ianya akan diterima. Alia Natasya masih mengomel sendiri. Melihatkan sikap Maira Atisya yang tenang itu semakin memanggang hati dan perasaannya dibara kebencian.

“Apa yang bising sangat ni. Alia? Dari luar lagi saya dah dengar suara awak. Apa yang terjadi?” tanya Fizz Haizal. Fail yang dipegangnya dilabuhkan di atas meja Maira Atisya. Dia mengalih pandang kepada dua orang gadis yang berada di hadapannya.

“Well Fizz. Bagus juga you dah balik. Staff kesayangan you ni, suka hati dia saja hilangkan cheque dari Chempakaraya. You tahu tak betapa susahnya I nak dapatkan cheque tu, senang-senang saja budak kampung ni hilangkan. Alasannya terlupa di mana dia letak. Itulah, orang datang pejabat untuk bekerja. Bukannya berseronok dan bercinta sampai kerja yang begitu senang pun tak boleh nak buat. Kalau nak menari dan bersukaria, tak payah kerja. Menyusahkan orang saja,” cemuh Alia Natasya sesuka hati. Matanya menjeling ke arah Maira Atisya.

Fizz Haizal merenung gadis yang sedang tunduk membisu. “Maira, Is that true? Benar cheque dari Chempakaraya dah hilang?” tanya anak muda itu inginkan penjelasan.

Perlahan-lahan Maira Atisya menganggukkan kepala tanda mengiyakan pengaduan yang dibuat oleh Alia Natasya keatasnya. Dia sudah bersedia untuk menerima ledakan kemarahan dari Fizz Haizal. Dia yakin tornado anak muda itu akan meledak tambahan pulak dia baru sahaja kembali dari menghadiri mesyuarat di luar. Sudah pasti cuaca panas akan memudahkan untuk suhu kemarahannya naik.

“Macamana boleh jadi macam tu? Awak yakin awak ada terima cheque tu? Awak dah cari di serata tempat?” Bertubi soalan diajukan. Intonasi suara anak muda itu masih berada diparas terkawal. Namun wajahnya sudah mula merah. Dia mengusap pangkal tengkuknya berkali-kali.

“Saya minta maaf Encik, saya tak ingat samada saya ada terima atau tidak, lagi pun tiada rekod penerimaan yang tercatit. Apapun saya janji saya akan cari lagi. Mungkin terselit di mana-mana,” Maira Atisya memberanikan diri untuk menjawab. Dia memandang seketika ke wajah Fizz Haizal yang nyata membiaskan lelah. Belas rasa hatinya melihatkan keadaan anak muda itu. Tiba-tiba hatinya diterpa rasa bersalah.

“Tak ada rekod penerimaan konon. Alasan. Jangan-jangan engkau sengaja tak rekod dan engkau dah bank in kan cheque tu,” cemuh Alia Natasya. Rasa meluat semakin menggigit tangkai jantungnya. Geram dan marahnya mula membuak. Dia mengharapkan Fizz Haizal akan memanahkan petir amarah, sebaliknya tidak.

“Awak boleh diam tak Alia. Awak tak ada hak nak marah Maira walaupun benar mungkin dia melakukan kesalahan. Lagi pun kalau dia dah bank inkan cheque itu, apa lagi masalah yang timbul? Cheque itu atas nama syarikat, tiada individu yang boleh menunaikan jumlah yang tertera. Apa masalah awak sebenarnya?” tanya Fizz Haizal tegas. Dia menentang wajah Alia Natasya yang sudah mencebik.

“Listen Maira, I won’t ask my client to issue another cheque to replace the early one. You lost it, you fix it. The responsibility is yours. How you want to settle, that’s your problem. Walaupun engkau mendapat membelaan tapi aku rasa apa yang engkau dah lakukan ni memang tak sepatutnya terjadi. Elok dipecat sahaja orang yang lebih banyak berangan dan angau dari buat kerja hingga menyusahkan orang lain,” sindir Alia Natasya sambil menjeling sinis ke wajah Fizz Haizal. Dalam hati dia mencemuh geram. Ingat buah hati ada aku takut. Tolong sikit. Padan dengan muka, dua-dua aku libas sekali harung.

“Awak dah habis membebel ke Alia? Kalau sudah, dipersilakan awak balik semula ke tempat awak. Ini bahagian saya. Sebarang permasalahan yang timbul, saya yang akan selesaikan. Saya mahu awak emailkan apa yang berlaku hari ini. Biar saya yang ambil tindakan,” keras kedengaran suara Fizz Haizal memberi arahan. Sebentar tadi telinganya sudah berdesing mendengarkan kata-kata gadis itu. Langsung tidak menghormati dirinya.

Maira Atisya masih menundukkan wajahnya. Dia tetap membisu. Pertengkaran yang berlaku kini sudah mengherat Fizz Haizal bersama ke dalam gelanggang.

Alia Natasya mengetapkan bibir. Menahan rasa amarah yang sudah membuak lantaran arahan yang diberikan oleh Fizz Haizal. Hatinya bagai dipanggang di atas bara. Pantas dia memusingkan tubuhnya untuk berlalu. Namun sebelum itu sempat tangannya mencapai bekas minuman di atas meja Maira Atisya lantas menyimbah air yang masih bersisa ke wajah gadis itu. Maira Atisya tidak sempat mengelak lantaran terkejut dengan tindakan drastik kakaknya. Wajah yang sudah bermandikan air itu dikesatnya perlahan bersama untaian airmata yang turut sama mengalir. Sayup-sayup dia terdengar tawa mengejek Alia Natasya terhadap dirinya.

Fizz Haizal terkasima dengan apa yang dilihat. Ternyata Alia Natasya sudah melampau. Radang hatinya dengan sikap kurang ajar gadis itu. Langsung tidak menghormati dirinya. Gemar bertindak dengan landasan perasaan.

Maira Atisya mengatur langkah meninggalkan anak muda itu sendirian. Dia malu dengan apa yang terjadi. Pasti ramai yang mendengar dan menyaksikan apa yang dilakukan oleh Alia Natasya sebentar tadi. Hatinya benar-benar terguris, tapi dia cuba bersabar.

Fizz Haizal sekadar mampu memandang. Melihatkan sikap Maira Atisya yang masih berdiam, dia jadi geram. Geram lantaran gadis itu kerap benar mengalah dalam segala keadaan. Tidak pernah sekali pun ingin membela dirinya dari tomahan atau kata-kata kesat Alia Natasya. Perlahan-lahan anak muda itu mengatur langkah ke biliknya. Menghempaskan tubuh yang ternyata kepenatan. Penat dengan mesyuarat dan penat melihat apa yang terjadi sebentar tadi. Pantas tangannya menekan interkom.

“Balqis, panggil Emil Roziman masuk,” keras kedengaran suara Fizz Haizal memberi arahan.

“Maaf Encik Haizal, Emil tak ada dekat tempat dia. Tadi saya lihat dia di pantry dengan Maira,” terang Balqis lambat-lambat. Dari intonasi suara anak muda itu, tidak sukar untuknya mengesan kemarahan yang sudah mula mencari ruang.

What!!! Awak pergi panggil dia. Kata saya nak jumpa. Ha! Maira sekali,” tempelak anak muda itu lagi. Hati yang panas terus memuntahkan lava. Geram dan cemburunya bagaikan bersatu di jantung emosi.

Terkial-kial Balqis bangun menuju ke pantry mencari kedua insan yang dimaksudkan. Dia sudah masak dengan tingkah Fizz Haizal. Adakala cemburunya mudah dihidu lebih-lebih lagi bila melibatkan Maira Atisya dan Emil Roziman.

“Maira, kekanda engkau dekat dalam tu dah murka. Baik engkau pergi mengadap cepat. Ha! Emil pun sama. Keduanya dipanggil segera,” ucap Balqis. Wajahnya menjamah ke wajah Maira Atisya yang masih lesu. Biasan airmata gadis itu masih mampu dilihat. Belas hatinya dengan apa yang dialami oleh temannya itu.

Maira Atisya sekadar mengeluh. Dia sedar, pasti isu kehilangan cheque Chempakaraya tidak sekadar berakhir dengan ledakan kemarahan Alia Natasya. Kini dia harus malah wajib berhadapan dengan Fizz Haizal pula.

“Matilah Maira kali ni bang, silap perhitungan 24jam notice Haizal beri suruh Maira resign. Apa Maira nak buat?,” luah Maira Atisya. Birai matanya mula basah.

“Maira jangan risau. Jangan fikir yang bukan-bukan. Tak kan Haizal bebal sangat nak buat keputusan sebelum tahu perkara sebenarnya. Dah! Jom kita pergi. Apa-apa pun abang ada,” Emil Roziman cuba memberikan semangat. Faham dengan apa yang dirasai oleh gadis itu. Mereka sama-sama melangkah menuju ke bilik Fizz Haizal.

Perlahan-lahan Maira Atisya mengetuk pintu bilik anak muda itu.

“Masuk.” Suara Fizz Haizal bergema. Keduanya melangkah masuk ke bilik anak muda itu seiringan. Wajah Maira Atisya di tatap berselang dengan wajah Emil Roziman.

“Saya nak tahu keseluruhan cerita cheque Chempakaraya,” keras suara Fizz Haizal mengajukan pertanyaan.

Maira Atisya tunduk. Hujung kasutnya dijamah dengan pandangan mata. Apa yang harus diperkatakan... dia sendiri buntu. Tidak mampu mengingati apakah benar dia ada menerima cheque tersebut seperti dakwaan Alia Natasya.

“Maira, saya bukan nak lihat orang bisu berdiri di hadapan saya. Saya bertanya dan pertanyaan saya itu perlukan jawapan,” sergah Fizz Haizal. Melihatkan gadis itu mengunci mulut hatinya tiba-tiba jadi panas kembali.

“Maira, cuba Maira ceritakan apa sebenarnya yang terjadi. Benar ke Maira ada terima cheque tu tapi tak ingat mana Maira letak?” Emil Roziman bertanya penuh diplomasi. Lebih lembut dari Fizz Haizal. Hatinya belas melihat gadis itu diherdik.

“Saya tak tahu. Saya benar-benar tak boleh nak ingat. Selalunya kalau terima apa-apa cheque, saya akan rekod dulu sebelum masukkan ke dalam data computer,” Maira Atisya menjawab perlahan. Sedikitpun dia tidak mengangkat wajahnya. Masih betah merenung hujung kasutnya.
Terdengar Fizz Haizal menghempaskan keluhan berat.

“Masakan awak langsung tak boleh nak ingat. Bukannya dah berbulan, baru lagi kan. Apa yang awak buat selama ini Maira? Berangan atau awak buat kerja sambil lewa. Ambil nama buat sahaja? Awak tahu tak… bila kepincangan pekerja saya dapat dihidu oleh pekerja dari bahagian lain, itu bermakna mereka lihat kepincangan saya juga. Kebodohan saya kerana tak dapat nak mentadbir dan mengawasi pekerja di bahagian saya dengan baik. Membiarkan segala permasalahan yang tidak sepatutnya berlaku untuk berlaku. Awak tahu tak di bahagian mana awak ditempatkan. Di bahagian kewangan… jadi tanggungjawab setiap pekerja di bahagian ini lebih besar dari orang lain. Kita semua berusuran dengan kewangan, kewangan dari clients yang mendapatkan perkhidmatan dari kita. Awak sedar tak tu Maira,” herdik Fizz Haizal. Berang dan amarahnya sudah bersatu dan dilepaskan secara berpackage kepada gadis yang berada di hadapannya. Hati yang dipagut cemburu juga membuatkan amarahnya bagai tidak dapat dibendung.

Maira Atisya terkedu. Sudah lama kemarahan anak muda itu tidak menyerang dirinya. Kali pertama sewaktu dia menegur bila terlihat keasyikan Fizz Haizal melayan rokok beberapa bulan yang lalu. Intonasi suara yang sama seperti sebentar tadi jugalah yang dilemparkan padanya. Kini ianya bergema lagi.

“Maira!!,” tengking Fizz Haizal. Sabarnya melayang melihatkan sikap bisu gadis itu.

“Yo Fizz! Bawak bertenang, sabarlah sikit,” Emil Roziman cuba menenangkan anak muda itu. Dia sendiri terkejut mendengarkan lengkingan suara itu. Sekilas matanya melirik ke wajah Maira Atisya yang sudah berubah.

“Engkau nak suruh aku bertenang?? Sedangkan dalam waktu yang sama orang lain sedang mentertawakan aku. Come one Ozim. This is not funny okey. This is about my ability. How I handle my staff from the unnecessary mistake. Selama ini tak pernah pun terjadi pasal cheque missing or misplace. Everything’s goes smooth, but now?? Can you understand what other peoples may think about me? Once my staff done this studied mistake it seems like I’m doing that too. Can you see it??,” meledak suara Fizz Haizal. Rahangnya bergerak-gerak. Pangkal tengkuk diusap berkali-kali cuba meredakan marah yang semakin marak. Sikap Maira Atisya yang membisu langsung tidak membantu. Itu yang membuatkan darahnya seakan mendidih.

Maira Atisya makin tunduk. Kecut perutnya mendengarkan ledakan suara anak muda itu. Dia sedar, selama ini Fizz Haizal cukup mementingkan qualiti dan kesempurnaan dalam tugasan yang diamanahkan pada seluruh pekerja di bahagian kewangan. Bagi anak muda itu tiap kesalahan yang dilakukan oleh orang bawahannya bakal mencerminkan kepincangan dirinya. Dia tidak betah andai ada diantara mereka yang melakukan kesalahan remeh seperti apa yang berlaku sekarang.

“Maira keluar dulu. Biar abang bincang dengan Fizz bagaimana nak atasi masalah ini,” lembut suara Emil Roziman memberikan arahan. Dia belas melihatkan wajah pucat gadis itu. Hatinya berat untuk mengiyakan apa yang telah didengarnya. Masakan Maira Atisya secuai itu. Tidak...

“Encik, saya minta maaf,” mohon Maira Atisya perlahan. Wajah Fizz Haizal cuba dijamahnya dengan sebuah pandangan.

I don’t need your apologies… what I need are explanation,” bentak Fizz Haizal sinis. Dia merengus menahan rasa.

Maira Atisya tunduk. Hatinya sayu bila anak muda itu juga seolah tidak mempercayai apa yang diperkatakannya. Perlahan-lahan dia melangkah keluar. Apa lagi yang boleh dilakukannya selain dari menyelesaikan permasalahan itu. Dia tidak mahu membebankan Fizz Haizal malah tidak juga tega membiarkan anak muda itu dikaitkan dengan kekhilafan yang telah dilakukannya. Tanpa sedar sebuah keluhan berat terlepas dari ulas bibirnya.

1 Ulasan:

  Unknown

October 11, 2008 at 11:43 AM

saya baca tulisan ini. seperti mau menerjemahkan english ke indonesia..
:-)
ada kosa kata yang saya tidak tahu artinya.