Snack Pack I KIMK

Cinta itu terlalu mahal harganya.
Tidak ternilai dengan segunung intan mahupun permata. – Benarkah???


MAYA mengeluh, tidak tahu apa yang harus diungkapkan. Fikirannya buntu dalam mencari sebuah penyelesaian bagi masalah yang bertandang. Dia bagaikan tersepit pada persimpangan. Antara cintanya terhadap Joseph dan kasih sayang kepada keluarga. Bagaikan ditelan mati emak, diluah mati ayah. Tidak sanggup memilih satu di antara keduanya.

Sudah lebih tiga tahun hubungannya dengan pemuda Kristian itu malah ayah dan ibunya juga sedia maklum. Entah mengapa tiba-tiba dia diminta pula membuat satu keputusan, memilih dalam pilihan yang telah dibuatnya.

Direnungnya gambar Joseph yang berada di atas mejanya. Anak muda yang telah berjaya mencuri ruang di hati. Ternyata perbezaan yang ada di antara mereka tidak menghalang benih-benih cinta bercambah lantas mekar. Dia sedar akan permasalahan yang bakal timbul justeru mereka berlainan agama dan budaya. Namun siapalah dirinya untuk menolak segala percaturan perasaan?

Kasih sayang bukan paksaan. Hadirnya tanpa diundang atau dipinta. Berlabuh lantas menguntum di tanam hati. Apa dayanya untuk menidakkan semua itu? Air mata mengalir perlahan-lahan. Sudah acap kali dia menangis. Mengapa tiada yang mahu memahami akan perasaannya? Mengapa? Hatinya bagaikan menjerit dengan pertanyaan yang entah di mana jawapannya.

Tempoh hari Joseph telah memberikan persetujuan untuk mendalami Agama Islam. Maya tahu anak muda itu bersungguh-sungguh terhadap cinta mereka. Tambahan pula dalam keluarga Joseph perkahwinan campur bukanlah merupakan budaya asing. Kakak dan abangnya juga ada yang berkahwin dengan gadis dan pemuda Melayu Islam.

Mama dan papanya seolah faham bahawa anak-anak zaman kini bukan lagi seperti zaman Hang Tuah dahulu kala, yang mengikut segala ketentuan daripada keluarga. Anak zaman IT semakin tega mengikut keputusan mereka sendiri. Justeru itu keluarga Joseph tidak mahu menghalang keputusan anak-anak. Mereka sering dinasihatkan agar mengkaji tiap tindakan yang ingin diambil agar tidak menyesal di kemudian hari.

Maya tahu keluarga Joseph telah menerima dirinya malah sedikit pun tidak menghalang percintaan itu. Sudah acap kali jua dia bertandang ke rumah anak muda itu. Jelas terpancar kemesraan yang tidak berlandaskan kepura-puraan. Maya senang dengan keluarga Joseph. Begitu juga takala dia memperkenalkan Joseph pada keluarganya dulu, ayah dan ibunya tidak pulak menunjukkan sikap membantah atau tidak merestui perhubungan mereka.

Tapi mengapa lewat kebelakangan ini dia seolah didesak dalam membuat keputusan? Mestikan dikorbankan tiap titis kasih sayang yang ada di hati untuk sesuatu yang belum pasti? Ah!

Maya mencapai telefon yang ada di hadapannya. Dia perlukan seseorang untuk berbual. Meredakan segala gundah yang makin bertandang di penjuru hati. Tapi siapakah gerangan insan yang sudi mendengar atau berkongsi apa yang dirasa kala ini? Lama dia membelek telefonnya, masih tercari-cari di dalam senarai, nama rakan-rakan yang disimpannya.

Tiba-tiba telefonnya menjerit nyaring, tertera nama Shahiza. Gadis yang baru tiga bulan dikenalinya, tapi entah mengapa hatinya berbunga riang tiap kali suara gadis itu kedengaran.

“Hai, Shiza, apa khabar? Lama aku tak dengar suara engkau.” Maya bersuara sebaik sahaja punat hijau ditekan. Terdengar tawa manja daripada gadis di hujung talian.

“Kenapa? Kau rindu ke?”

Mengekek tawa Maya bila mendengar soalan Shahiza. Memang diakuinya, sudah agak lama dia tidak menghubungi rakannya itu.

“Isy, perasan. Siapalah kau tu aku nak rindu? Kalau pakwe aku tu lainlah,” balas Maya sambil turut sama tertawa. Lega sedikit hatinya dengan lawak lekeh secara spontan itu.

“Ha! Ni mesti ada apa-apa kau nak cerita pada aku. Kalau tidak engkau takkan telefon aku punya,” serkap Maya pantas. Sengaja menduga kalau-kalau ada berita sensasi yang terlepas daripada pendengarannya.

“La! Mana pulak? Selalunya kalau tak ada apa-apa pun aku call apa, cuma sekarang aku busy sikit. Itu yang tak call. Nda usah marah, bah. Nda baik untuk kesihatan,” usik Shahiza kembali dalam dialek Sabah yang entah dari mana dirembatnya. Dia tertawa kecil di hujung talian.

“Amboi! Sejak bila engkau belajar cakap dalam dialek Sabah ni ha? Kau tahu tak, kalaulah ada orang dari Sabah dengar, mesti boleh tangkap nangis tau. Kau ni merosakkan bahasalah,” komen Maya sebaik sahaja mendengar kata-kata temannya sebentar tadi.

Shahiza sekadar tersenyum.

“Shiza, aku tengah sedih ni.” Tiba-tiba Maya mengungkap kata. Suaranya sudah berubah kendur. Dia sendiri tidak tahu mengapa sebegitu celopar mulutnya.

“Ha! Kau sedih? Kenapa? Erm, kau nak share dengan aku?” tanya Shahiza kaget.

Terkedu dia mendengar kata-kata temannya itu. Simpati mula bertandang dalam hatinya.

Itulah sikap Shahiza. Perihatin terhadap perasaan teman-teman yang bernaung di bawah lembayung kamus persahabatannya.

Terdengar keluhan Maya. Lama talian membisu. Shahiza tidak memaksa. Dia terus memberi ruang buat temannya bermain dengan perasaan seketika.

“Maya, kau okey ke? Apa yang dah berlaku?” Perlahan suara Shahiza. Bimbang andai mengusik perasaan teman yang sedang bercelaru.

“Erm, aku okey. Tak apalah, Shiza, aku tak nak bebankan kau dengan masalah aku ni. Lagipun mesti kau pun ada masalah tersendiri, kan?” Keluhan terdengar dari ulas bibir Maya. Hatinya berbelah bahagi. Air mata mula mengacah.

“Maya, aku tau kau tak okey. Kalau kau okey, kenapa kau sedih? Erm, kalau kau perlukan kawan untuk bercerita, aku ada dekat sini. Mungkin kau tak percaya pada aku sebab tu kau takut nak cerita, tapi aku ikhlas.” Shahiza cuba memujuk walau dia langsung tidak punya kepakaran dalam soal itu. Namun demi seorang teman, dicubanya juga.

“Pasal aku dengan boyfriend aku tu. Rasanya aku tak boleh nak buat apa lagi, Shiza. Mungkin cara terbaik adalah berpisah.” Sayu terdengar suara Maya. Shahiza terkedu. Tidak tahu apa yang harus diucapkan.

“Sorry, Maya. Kau dah fikir masak-masak ke sebelum kau buat keputusan?” soal Shahiza lembut.

Kemelut percintaan tak pernah sunyi daripada singgah di hati setiap insan. Ada tikanya bahagia menjadi hamparan dan tak kurang juga dugaan yang menguji ketabahan dalam keimanan.

“Apa lagi yang boleh aku buat? Semua orang tak faham perasaan aku. Memanglah aku sayang dekat boyfriend aku tu, tapi nak buat macam mana… ayah dengan ibu aku pun asyik bertanya. Umur aku bukan makin rendah, dah meninggi pun. Mungkin dah lebih tinggi daripada pokok mempelam yang mereka tanam masa taman uri aku dulu. Entahlah, Shiza. Kawan-kawan aku kata aku ni pentingkan diri sendiri, tapi mereka tak faham.” Dalam pada menahan sedih masih sempat diselitkan lawak antarabangsa yang entah dari mana datangnya.

“Sabarlah, Maya. Erm, kau dah buat solat istikharah?” soal Shahiza.

Dia faham bagaimana perasaan gadis itu. Pasti sukar untuk melupakan orang tersayang dan dicintai, tapi… perlahan-lahan dia melepaskan keluhan. Simpati dengan pergolakan yang sedang bercanda di hati seorang teman.

“Tak. Aku tak buat pun. Erm, nak buat lepas solat maghrib ke?” Maya bertanya bodoh. Dia sedar betapa alpanya dia dalam mencari penyelesaian.

“Aku nak ajar pun, aku ni bukannya arif sangat. Apa pun lebih baik engkau buat waktu sepertiga malam. Mulakan dengan solat sunat dua rakaat, kemudian solat taubat dan solat tahajud. Kalau larat buatlah solat tasbih juga. Kemudian baru kau buat solat istikharah. Pastikan kau betul-betul tenang waktu tu. Jangan fikir masalah yang sedang kau hadapi. Kemudian kau buatlah solat hajat. Buatlah tiga malam berturut-turut, mudah-mudahan Allah memberikan petunjuk pada engkau dalam menyelesaikan masalah ni.” Shahiza memberikan sedikit panduan. Sekadar berkongsi apa yang diketahuinya.

“Terima kasih, Shiza. Aku ni menyusahkan kau saja, kan? Kita baru kenal, tapi aku dah cerita macam-macam masalah dekat kau. Eh, kau dengan si dia tu apa cerita?” Maya cuba mengubah hala perbualan. Tidak tega untuk terus membuka permasalahan diri. Cukup-cukuplah pengaduan yang telah dilaporkannya tadi.

“La! Macam mana apa? Aku bukannya ada apa-apa, tapi boleh aku tahu siapa si dia yang kau maksudkan tu?” Soalan kembali bertukar tangan. Tawa manja Maya sudah mengambil tempat.

“Alah, konon… kura-kura dalam perahu. Nak sorok daripada akulah tu. Tak payahlah, Shiza, bukannya aku tak tau,” giat Maya sambil mengekek. Tiba-tiba dia rasakan satu kenikmatan bila dapat mengusik temannya itu.

“Dah aku tak tahu, tentulah aku tanya. Yang kau tu, kalau betul tahu beritahulah pada aku yang tak tahu ni,” sergah Shahiza. Geram juga rasa hati dengan telatah Maya itu.

“Woi! Berapa banyak tahu da…? Sikit-sikit cukuplah.”

Tawa Maya dan Shahiza berganding juga akhirnya. Mungkin lucu mendengarkan intonasi Maya sebentar tadi.

Setelah agak lama berbual Shahiza meminta diri untuk meneruskan tugasannya. Dia punya temu janji yang harus dihadiri. Meski hatinya sedikit terusik dengan permasalahan yang didengarnya tadi, tapi dia tidak mahu mendesak Maya untuk bercerita. Biarlah gadis itu mencari ketenangan dengan caranya dahulu.

Maya termenung sendiri. Entah mengapa tiba-tiba mindanya beralih arah. Memikirkan perihal Shahiza. Benarkah gadis itu tidak punya sebarang hubungan dengan orang yang digembar-gemburkan lewat kebelakangan ini? Tapi kalau tidak benar, mana mungkin pokok boleh bergoyang?

Erm! Mungkin ada beruk nakal agaknya, sebab itulah pokok tu bergoyang, gumam hati Maya sambil tersenyum. Sedar dan yakin gadis bernama Shahiza itu tidak akan sekali-kali mendedahkan rahsia hatinya semudah ABC kepada sesiapa pun. Akhirnya dia kembali meneruskan kerja yang tertangguh sebentar tadi. Tidak mahu terus mendera fikirannya dengan sesuatu yang entah di mana kepastiannya.

0 Ulasan: