Snack Pack IV KIMK

Ketenangan itu harus digapai demi melakar kembali kekuatan sekeping hati…Kuatkah sekudus jiwa ini???

ELIZA merengus geram. Tubuhnya dihenyakkan di atas katil. Mindanya berputar dalam amarah yang membuak. Lelaki semuanya sama. Sanggup berbohong semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri. Ah! Geram dan marah datang bertimpa di hati Eliza. Simpati tiba-tiba menyerbu dengan apa yang dialami oleh Noreen teman sekolahnya dulu.
Kalau ikutkan rasa marah dan geram, sudah lama lelaki itu ditampar, dimaki dan herdiknya. Bagai turut sama rasai sakit dan kecewa yang dialami oleh temannya itu. Seorang lelaki yang pernah bersumpah konon mencintai dan mengasihi sepenuh hati sanggup menodai segalanya. Melakukan pembohongan hanya untuk kepuasan diri sendiri. Memang kejam. Perasaan dan hati dipermainkan dengan sewenangnya. Kesetiaan digadaikan seolah ianya tiada berharga langsung.

Lelaki tidak tahu malu. Setelah dengan selamba berkunjung ke kampung dan berlakon memohon keizinan untuk menyunting Noreen, dia menghilang sebaik sahaja memperolehi apa yang dihajati. Duit yang dipinjam daripada gadis itu digunakan bagi menampung perbelanjaan hantaran pertunangannya dengan perempuan lain.

Dasar lelaki hipokrit. Lelaki yang langsung tak punya maruah dan harga diri. Membina kebahagiaan dengan mempergunakan segala kesempatan dan kasih sayang insan lain terhadap dirinya.

Eliza mencampakkan bantal yang dipegang. Geramnya dirasa makin membuak-buak di jiwa. Terbayang wajah sayu Noreen sewaktu bercerita akan perkara itu. Andai lelaki itu ada di hadapannya, sudah pasti akan dihadiahkannya dengan penampar agar mampu menyedarkan dirinya bahawa tidak semudah itu dia memperkotak-katikkan seorang perempuan.

Hatinya tiba-tiba jadi sakit. Ah! Lelaki memang tak boleh dipercayai. Janji sekadar manis di bibir. Teringat kepada si TwinTower. Penat sahaja dia menanti panggilan daripada anak muda itu sepanjang minggu. Akhirnya dia dihadiahkan dengan kehampaan. Alasan yang diberikan oleh anak muda itu cukup mudah. Tak ada kredit.

Bohong! jerit hati Eliza. Apa dia tinggal dekat dalam hutan ke? Mustahil tak dapat nak cari public phone untuk call aku? Kalau ya pun semuanya dah jahanam, takkan panggilan daripada aku pun tak boleh jawab? Rindu dah menjerut rasa konon, lagi baik jerut terus leher dia supaya cepat sikit belajar mengucap.

Dasar jantan tak guna. Sekadar menanam tepu di pinggir bibir. Entah-entah tengah sedap berdating dengan perempuan lain... cemuh hati Eliza berang. Terbayang wajah Haniff yang tinggi bagaikan Menara KLCC. Dah kenalah dengan nick sebagai TwinTower tu.

Ah! Persetankan dengan mereka semua... Kalau dia tak layan aku pun, aku masih boleh hidup. Lagipun bukannya aku serius sangat dengan dia pun. Hati gadisnya kian memberontak. Perlahan-lahan dia menapak ke jendela yang terbuka luas.

Dilemparkan pandangan jauh dan membiarkan fikirannya juga turut pergi jauh membuka sejarah lama. Teringat kepada mama.

Rindunya sudah lama menguntum, tapi dia tetap berdegil untuk terus mengikut rajuk di hati. Terkilan dengan sikap dan tingkah mama yang lebih mempercayai suami barunya yang hampir-hampir memusnahkan hidup anak sendiri. Mama masih menyebelahi jantan keparat itu tanpa mahu mendengar penjelasan daripadanya. Justeru kerana kecewa, dia membawa diri.

Dia kembali duduk di atas katil. Hatinya kian panas. Perasaannya makin tertekan. Dicapainya bingkai gambar yang ada di hujung katil. Gambar dia bersama arwah papa, mama, Abang Johan dan Kak Junita. Betapa bahagianya tika itu. Dia sentiasa mendapat perhatian dan kemanjaan daripada papa meskipun terkadang sikapnya yang agak agresif sering mengundang permasalahan dalam keluarga.

Namun segalanya hancur berkecai setelah pemergian papa. Mama mengambil keputusan untuk bernikah dengan bosnya sendiri. Sejak itulah hubungan kekeluargaan mereka makin renggang.

Abang Johan mengambil keputusan untuk menyertai TUDM sementara Kak Junita pula bekerja di salah sebuah firma hartanah yang beroperasi di Australia. Semuanya sebagai tanda protes terhadap keputusan mama. Tinggallah dia seorang untuk terus hidup bersama mama dan ayah tirinya.

Sejak dari awal lagi jantan gatal itu telah menunjukkan minat terhadap dirinya. Tiap kali dia menyuarakan perkara itu kepada mama, pasti dia akan dimarahi dan dituduh sengaja menggoda ayah tirinya.

Namun kejadian ngeri sewaktu ketiadaan mama tak mungkin akan dilupakannya hingga ke akhir hayat. Untung dia masih sempat mempertahankan segalanya daripada diceroboh. Waktu itu dia benar-benar kecewa bila mama menuduh dia yang memulakan segalanya.

Air mata mengalir. Perlahan-lahan diletakkan semula bingkai gambar itu ke tempatnya. Air mata makin laju membasahi pipi. Dia tersedu seorang diri. Selama ini dia tidak pernah mempamerkan segala yang dialaminya kepada sesiapa pun. Malah tak siapa yang dapat menduga bahawa dia juga menjadi seorang pendendam pada insan yang bergelar lelaki. Terlalu payah meletakkan kepercayaan setelah melalui pengalaman hitam dalam hidupnya.

Dikesatnya air mata yang masih berbaki. Tidak mahu ada insan lain yang melihat keadaannya sedemikian, malangnya Melissa sudah berdiri di hadapanya bagaikan tiang letrik. Bulat mata Gadis Kadazan itu memandang ke arahnya. Eliza hanya buat muka selamba.

“Apa kau buat tercegat kat dalam bilik aku ni? Dah berapa jam kau kat situ?” Keras bunyi suara Eliza. Geram dan marah dengan sikap yang dianggapnya penyibuk milik gadis itu.

“Kenapa kau nangis? Kau gaduh dengan si Bullet ke?” tanya Melissa tanpa mempedulikan renungan bengis Eliza.

“Woi! Tak ada nama lain ke kau nak sebut? Tak sudah dengan si Bullet. Kan aku dah kata, aku tak ada apa-apa hubungan dengan budak tu. Takkan kau tak faham-faham, atau kau nak aku cakap dalam bahasa apa? Ha! Kalau kau atau Shiza nak sangat, ambillah. Aku tak ingin pun,” herdik Eliza kasar.

Hatinya yang sakit makin membengkak bila dia terus-terusan dikaitkan dengan anak muda berwajah kecinaan itu. Sejak mengetahui konflik yang melanda Shahiza, dia turut rasa bersalah.

“Kenapa kau marah sangat ni? Maaflah kalau saya menyinggung perasaan kau, tapi saya bimbang lihat kau nangis-nangis macam ni. Kalau kau ada masalah, kasi tahulah. Mungkin saya boleh bantu.” Sayu bertamu di hati Melissa. Niatnya untuk membantu mendapat herdikan daripada teman sendiri.

Eliza merenung wajah Melissa. Ada kesal di hatinya. Entah mengapa kemarahan yang membuak dilampiaskan pada gadis itu. Dia dihambat rasa bersalah. Dia mengeluh.

“Maafkan aku, Liss. Aku tak bermaksud nak marah kau, cuma…” Eliza tidak menghabiskan kata. Dicapainya tangan Melissa lantas menggenggamnya erat. Dia tahu gadis itu pasti terasa dengan perlakuannya.

“Tak apalah, Eliza. Saya faham. Ni saya nak tanya, kau tahu ke mana hilangnya Maya?” soal Melissa.

Dari tadi dia kebimbangan setelah mendapat panggilan daripada Joseph dan Shahiza. Ternyata, apa yang mereka fikirkan benar. Maya menghilangkan diri tanpa dapat dikesan ke mana sebenarnya tujuan gadis itu membawa diri. Mahu tak mahu, terpaksa juga dia bertanya kepada Eliza biarpun yakin gadis itu pasti tidak mengetahui apa-apa.

Haa! Maya hilang? Biar betul... Ke mana pulak perginya minah kepoh tu? Patutlah dah dua hari aku tak dengar suara dia. Nak kata bergaduh, dah lama jugak dia lancarkan gencatan perang mulut, cuma hari tu aje…

Eliza mengerutkan dahinya. Lama direnungnya Melissa. Terasa kesal dengan sikapnya yang terkadang sambil lewa dengan permasalahan yang terjadi di rumah mereka. Perlahan-lahan digelengkan kepalanya tanda tidak tahu.

“Tak apalah. Kita tunggu sahaja sampai Shiza balik. Harap dia dapat berita di mana Maya sekarang.” Melissa menjawab kembali soalannya.

Dia bangun lantas melangkah untuk keluar dari bilik itu. Mungkin temannya perlu bersendirian untuk merehatkan minda dan perasan, namun terhalang oleh pautan tangan Eliza.

“Liss, boleh kau temankan aku?” Perlahan suara Eliza. Matanya mula berkaca. Melissa tersenyum lantas duduk semula di birai katil. Membiarkan Eliza memulakan bicara. Dia tidak mahu memaksa cuma yakin gadis ceria di sebelahnya sedang bermain dengan kemelut permasalahan yang datang menjengah. Lama keadaan membeku. Yang kedengaran hanyalah alunan lagu yang diputarkan oleh DJ daripada radio Sinar FM.

“Liss, aku ni teruk, kan? Tak pernah nak ambil pusing perasaan dan hati kawan-kawan. Kejamkah aku, Liss?” Tiba-tiba Eliza bertanya perlahan. Sayu suaranya memandang tepat ke arah Melissa.

“Saya nda fahamlah, Eliza. Apa maksud kau kata macam tu?” tanya Melissa. Dia kian keliru dengan situasi gadis di sebelahnya.

“Pasal Shiza dengan Aiman Rahimi. Sumpah, Liss, aku tak ada apa-apa hubungan dengan budak tu. Aku pun tak tahu yang Shiza baik dengan dia. Memang aku akui aku dah lama kenal Aiman, rasanya sebelum Shiza kenal dia lagi. Kau pun sedia maklum, kan? Di rehatminda.com, siapa yang tak kenal Bullet? Sebut saja nick dia, semua orang tahu bagaimana karakter anak muda itu. Tapi bukannya serius. Erm, aku bimbang andai apa yang berlaku di antara Shiza dengan Aiman sedikit sebanyak disebabkan oleh aku,” luah Eliza.

Melissa mengeluh. Dia tidak berani untuk mengulas lebih lanjut

“Aku pun pernah frust, tapi bukanlah cinta buat seorang kekasih, tapi cinta terhadap mak aku. Aku rasa macam dunia ni dah berakhir saja bila mak aku ambil keputusan untuk berkahwin semula dan yang lebih malang lagi bila bapak tiri aku cuba nak nodai aku. Mak aku pulak tak percaya, sebaliknya tuduh aku yang goda lelaki jahaman tu. Kau bayangkan macam mana perasaan aku waktu tu? Hancur berkecai. Punah semua kasih sayang dan rasa cinta yang ada terhadap mak aku. Sebab itulah aku hidup melarat sorang-sorang. Menyewa sana sini dan akhirnya aku tersadai dekat rumah Shiza dan bertemu dengan kau orang. Aku sengaja buat perangai brutal sebab nak hilangkan tension. Aku dah janji pada diri aku yang aku tak akan toleh ke belakang lagi. Aku tak akan biarkan diri aku menangis lagi. Biarlah semua tu berlalu. Aku berazam untuk buktikan pada mak aku yang aku juga boleh hidup tanpa dia.”

0 Ulasan: