Sebuah Cerita Cinta

Bidadari bertahta di hati

“Sejak bila awak belajar tengok drama Korea? Ha! Ni mesti terpengaruh dengan ‘Tok Kebayan Sekolah Tadika’ tu kan.” Firyal Rifdah menyergah Hadif Raizal Isyraf yang leka membelek dvd yang terdapat di kedai itu. Entah cerita apa yang dicarinya.

“Cuba jangan negetif thinking terhadap orang lain. Satu lagi, kan tak baik awak panggil dia macam tu. Bukankah dia ada nama, lebih manis kalau panggil guna nama dia kan.” Terdengar teguran anak muda itu tanpa menoleh ke arahnya. Firyal Rifdah membisu bila dirasa terkena tembakan sinis yang penuh kelembutan itu.

“Oh! Bila dia panggil saya ‘rebounding dinasour’ tu baik ke? Awak memang, mesti nak menangkan kaum sejenis,” tempelak Firyal Rifdah geram. Dasar lelaki, mesti akan membela kaum sejenis... Omelan perlahan terhunus juga dari bibir comel itu.

“Bukan macam tu. Saya pun tak suka dia panggil awak dengan panggilan sebegitu. Erm! Tak boleh ke awak berdua bawak berdamai? Kan itu lebih baik.” Terselit unsur pujuk dalam nasihat yang terungkap dari ulas bibir Hadif Raizal Isyraf. Namun dia tahu, masakan gadis itu akan sewenangnya menerima apa yang disarannya sebentar tadi.

Firyal Rifdah mencebik. Panas hatinya bila anak muda itu bagaikan hanya melihat salah dan silap dirinya, sedangkan sudah terang lagi bersuluh panggilan yang diberikan oleh Farid cukup menyakitkan hati dan pendengarannya.

Yes... Dah dapat. Ada pun. Alhamdulillah.” Terdengar anak muda itu bersuara girang bila menemui apa yang dicarinya. Firyal Rifdah yang masih tergecat disebelah sekadar menjeling.

Apa kenalah dengan mamat sorang ni. Jumpa dvd macamlah jumpa harta Qarun atau pun khazahan peninggalan kerajaan Mesir.... Firyal Rifdah merenung wajah girang anak muda yang ada di hadapannya. Dia ditamu kehairanan.

“Apa yang dah dapat? Boleh saya tengok?” pinta Firyal Rifdah. Fikirnya pasti anak muda itu keberatan tapi ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Hadif Raizal Isyraf menghulurkan dvd itu malangnya bila hampir dicapai selamba sahaja ditarik semula sambil tersenyum. Berulangkali keadaan sebegitu terjadi hingga membuatkan Firyal Rifdah rasa bosan.

“Tak payah nak main tarik tali dengan saya. Kalau tak nak bagi, saya pun tak kebulur nak tengok. Ni mesti awak beli dvd yang ‘gitu-gitu’, sebab tu takut nak bagi saya lihat,” cebiknya dengan wajah yang sudah berubah masam. Dia menjeling sekilas dan terlihat senyuman mengacah yang cuba disembunyikan oleh anak muda itu. Namun Firyal Rifdah belum termasuk dalam kategori rabun tahap kronik yang menyukarkan dirinya melihat apa yang telah terzahir.

“Budak-budak, kalau mereka merajuk tampak comel. Orang tua pulak jadi hodoh bila merajuk. Tambah-tambah bila tarik muka macam yang sedang awak lakukan sekarang. Berganda kehodohannya. Awak seakan mempercepatkan proses pembentukan kedut-kedut dan garis lanjut usia pada wajah. Tak takut ke kalau jadi otai sebelum waktunya.” Firyal Rifdah tergamam mendengar komen yang terhambur dari mulut anak muda itu. Amboi! Mulut terlebih insuran gamaknya. Ikut suka hati dia aje nak mengutuk aku. Ngomel Firyal Rifdah di dalam hati. Geram mula menjengah.

Satu jelingan maut dihadiahkan namun berbalas dengan senyuman dan huluran dvd tadi. Firyal Rifdah sekadar memandang tanpa reaksi. Bimbang andai dirinya dipermainkan sekali lagi.

“Ada ke awak tengok dvd tak senonoh kat sini? Satu lagi, apa maksud dengan dvd ‘gitu-gitu’. Saya tak faham.” Anak muda itu masih menghulurkan dvd yang bagai tidak langsung mendapat perhatian dari gadis itu. Dia tersenyum. Pasti rajuk sudah mula mengacah emosi. Tidak sukar bagi matanya mengesah perubahan yang mula terbias di wajah insan yang ada bersamanya.

“Nah! Ambillah dan tengok sendiri supaya hati awak puas. Kali ini saya tak main tarik tali. Lagi pun mana ada tali dekat sini cik adik ooiii. Kalau ada lebih baik saya gunakan untuk ikat awak dari main tarik-tarik,” gurau Hadif Raizal Isyraf sambil tertawa kecil. Melihatkan Firyal Rifdah masih teragak-agak, pantas dvd itu di letakkan ditanganya.

“Erm... Love Revolution? Awak ni fanatik betul dengan telenovela Korea yer, tapi ini cerita lama kan. Kenapa tak beli cerita-cerita baru yang ada bersepah sekarang ini?” soal Firyal Rifdah kehairanan sambil memulangkan semula dvd tersebut. Hadif Raizal Isyraf sekadar tersengeh memperlihatkan barisan gigi putihnya yang cantik tersusun.

Dia ni dah tersampuk spesis kerang terlebih masak agaknya. Tahulah gigi awak tu cantik. Tak payah nak buat iklan colgate di tempat yang tidak diperlukan. Gumam hatinya sendiri.

“Cerita ni best. Sepupu saya dah rembat dvd saya dan buat seperti harta peribadinya. Saya malas nak bising atau minta balik, jadi saya carilah yang baru sebagai ganti. Awak pernah tengok drama Korea?” Tanya Hadif Raizal Isyraf. Matanya sempat menjamah seraut wajah gadis di hadapannya itu.

“Tengok tak pernah, tapi lagunya biasalah saya dengar. Ada penyanyi yang suka nyanyikan secara live and free pada saya walaupun dengan pitching yang berterabur, tapi okeylah. Lagu Winter Sonata versi Melayu.”

Saat ku merindukan dirimu, jiwa meronta kau ku damba, Oh! gerhanalah seluruh pancaindera. Ku hilang dalam memori cinta, membakar seluruh jiwa raga, Hanya kau untukku, kau tiada dua. Firyal Rifdah tergamam bila terdengar anak muda itu mengalunkan lirik lagu tersebut. Biarpun perlahan tapi cukup romantis. Ada penghayatan pada tiap patah lirik yang disebutnya dengan pandangan yang cukup mengetarkan naluri kewanitaannya. Ah! Sudah…. Kenapa pulak aku tiba-tiba rasa semacam ni.

“Hai! Awak pun dah tersampuk ikut perangai ‘Tuk Kebayan Sekolah Tadika’ tu ke? Bezanya dia nyanyi lagu dangdut, tapi awak pulak kategori balada. By the way, not bad. Tak sangka awak punya telent yang terpendam dan terendam. Kenapa tak cuba masuk pertandingan realiti tv yang dok berlambak sekarang ni. Manalah tahu, kut boleh tambah koleksi penyanyi lelaki di Malaysia ni. Glamour apa,” sakat Firyal Rifdah tertawa. Pandangan anak muda itu masih terpaku pada wajahnya membuatkan dia diasak rasa serba salah. Pantas dialihkan pandangan, tidak betah untuk terus menentang sepasang mata yang seakan cuba berbicara tanpa kalimah.

Hadif Raizal Isyraf tersenyum melihat perubahan pada wajah gadis itu. Tampak comel bila muka itu mula berona kemerahan, persis tomato yang sedang masak ranum.

“Apa pandang-pandang? Ada hutang ke yang saya belum jelaskan? Dah tu senyum sorang-sorang. Cepatlah pergi bayar dvd yang awak dah rembat ni. Tak kan nak bertapa kat sini,” sergahan Firyal Rifdah benar-benar memeranjatkan Hadif Raizal Isyraf. Dia menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah gadis itu yang sukar diramal. Pertukaran anginnya langsung tidak memberi sebarang amaran.

“Tadi dah elok dengan gaya perempuan. Ni datang balik puting beliung awak. Isy... cuba bersopan sikit. Tengok semua orang pandang awak.” Hadif Raizal Isyraf mula mengatur langkah menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Firyal Rifdah sudah menarik muka masam. Bengang bila ditegur sebegitu. Bukan dia sengaja ingin menyergah, tapi anak muda itu yang seakan hanyut dalam khayalan sambil merenung wajahnya. Entah apa yang bermain difikiran hingga sebegitu asyik.

Dia mengatur langkah keluar dari kedai itu. Menapak ke sebuah kedai cenderahati yang kebetulan bersebelahan. Sebelum masuk, masih sempat dia mengutus pandangan memberitahu anak muda itu di mana dia berada. Dibeleknya setiap perhiasan yang dipamirkan. Dari yang kecil hinggalah yang besar. Dari patung anak beruang yang comel, hinggalah kepada yang besar dan boleh dijadikan teman tidur. Dia mula teruja.... namun lebih teruja bila terpandangkan sebuah muzikal box yang dipamerkan disatu sudut. Pantas kakinya melangkah ke situ. Muzikal box tersebut kini sudah berada di tangannya. Matanya leka memerhati dua ekor angsa yang seakan menari mengikut rentak muzik yang cukup romantik.

“Jiwang juga awak ni yer. Saya fikir orang macam awak tak suka benda-benda macam ni. “ Entah bila Hadif Raizal Isyraf hadir di sisinya.

“Apa! Awak fikir saya tak ada perasaan ke?” soal Firyal Rifdah sambil menarik muka masam. Geramnya pada anak muda itu masih belum surut. Ini sudah ditambah lagi.

“Bukan macam tu, biasanya tak ramai orang yang suka dengan muzikal box ni. Tentu awak punya persepsi yang unik terhadap barang yang sudah berjaya mengikat pandangan dan tumpuan awak ni kan. Erm nak kongsi dengan saya?” Tanya Hadif Raizal Isyraf tersenyum.

Firyal Rifdah tertawa kecil. Macam tahu-tahu je mamat sorang ni apa yang ada dalam kepala aku. Isy tak kan dia ada belajar ilmu nujum Pak Belalang kut. Hadif Raizal Isyraf masih menanti jawapan dari ulas bibir comel itu. Amat yakin bahawa telahannya tidak mungkin salah.

“Nak share dengan awak? Erm! Ali anak Pak Dolah. Lain kali sajalah,” ucap Firyal Rifdah selamba.

Hadif Raizal Isyraf sekadar tertawa mendengarkan jawapan gadis itu. Ah! Kenapalah dia ni tak macam gadis-gadis yang lain. Hatinya berbisik sendiri. Dia memerhatikan tingkah Firyal Rifdah yang leka membelek dan mendengar muzik dari muzikal box yang masih betah di tangannya.

“Apa kata kalau saya beli dan hadiahkan pada awak. Nampaknya awak suka sangat dengan barang ni.” Muzikal box yang tadinya berada di tangan gadis itu sudah beralih ke anak muda itu. Belum sempat Hadif Raizal Isyraf mengatur langkah ke kaunter, Firyal Rifdah terlebih dahulu menghalang.

“Muzikal box ni punya maknanya tersendiri. Bukan suatu barang yang sewenangnnya dibeli dan diberikan mengikut suka-suka hati. Jadi awak tak perlu buat macam tu.” Ucap Firyal Rifdah.

Langkah sudah diaturnya untuk keluar dari kedai tersebut meninggalkan Hadif Raizal Isyraf terkulat-kulat. Ah! Adakala memang sukar baginya untuk memahami akan tingkah gadis yang ada bersamanya kini. Terlalu payah tanpa sebarang petunjuk yang boleh diguna pakai.

“Firyal, boleh tak kalau saya buat satu permintaan?” tiba-tiba Hadif Raizal Isyraf bertanya. Dia cuba menyaingi langkah deras yang sedang diatur oleh gadis itu. Aduh! Dia ni bukan setakad punya kelebihan bertutur cepat, sebaliknya dalam melangkah juga. Agaknya dulu dia salah seorang jaguh marathon kut. Bisik hatinya sendiri.

“Awak ingat ni stesyen radio ke? Siap nak buat permintaan lagi. Ha! Lagu apa yang awak nak saya perdengarkan dalam irama yang sumbang ibni sumbing?” Wajah anak muda itu ditentangnya.

Langkah sudah mula berubah, speed yang tadinya pantas sudah di minimumkan. Belas melihat anak muda yang asyik ketinggalan itu. Isy berjalan mengalahkan perempuan. Mengatur lenggang. Macam nak menari inang aje. Apalah dia ni. Kutuk hati Firyal Rifdah.

“Saya bukan nak minta lagu, sebaliknya saya nak minta awak berdamai dengan Farid dan kalau boleh jangan panggil dia dengan panggilan yang tiada hubung kait dengan namanya. Boleh?” pinta Hadif Raizal Isyraf lembut. Firyal Rifdah mengeluh. Itulah kelebihan anak muda itu. Sentiasa bijak dalam menguasai medan pertuturan mereka malah diplomasi yang dimiliki dalam apa yang dipinta sering membuatkan Firyal Rifdah bagai hilang kata untuk mengatakan tidak.

“Saya je yang selalu kena berdamai... kena mengalah dengan mamat sengal tu. Habis bagaimana pulak dengan dia. Oh! Bila saya panggil dia ‘Tuk Kebayan Sekolah Tadika’, awak marah. Tak baiklah... tak eloklah, tak sopanlah, tapi dia gelar saya ‘rebounding dinasour’ tak apa pulak. Awak ni memang tau... “ Firyal Rifdah mengomel sambil memasamkan muka. Suaranya juga sudah berubah, tidak membentak sebaliknya lebih kedengaran sedih dalam sayu.

Sebenarnya dia sengaja memprovok emosi anak muda itu. Sengaja ingin melihat sejauhmana keperihatinan terhadap perubahan tingkahnya. Dia tahu Hadif Raizal Isyraf pasti menyangka dia akan melenting dengan permintaan yang dibuat sebentar tadi. Justeru itulah Riryal Rifdah mengubah cara.

“Tak salahkan apa yang saya pinta malah saya tahu dan yakin ianya tidak memberatkan awak untuk menunaikan. Saya akan lebih sayang awak kalau awak boleh panggil Farid dengan nama yang dah diberikan oleh kedua orang tuanya,” pujuk Hadif Raizal Isyraf lembut. Wajah gadis itu ditatapnya. Sejalur senyuman sudah mengacah dan menghiasi wajah.

“Tapi mamat poyo tu masih lagi panggil saya dengan panggilan....”

“Saya janji dengan awak, Farid tak akan panggil awak dengan panggilan sedemikian lagi. You can take my words as promise.” Pantas anak muda itu mencantas sebelum mulut gadis itu meneruskan kata-kata.

“Iyerlah... iyerlah... saya tak akan panggil dia ‘Tuk Kebayan Sekolah Tadika’ lagi.” Akhirnya Firyal Rifdah menyimpul persetujuannya walau wajahnya tidak langsung mengambarkan keikhlasan.

“Sebab itulah saya suka kawan dengan awak dan rasanya saya akan lebih suka dan sayang pada awak kalau awak lakukan semua itu dengan ikhlas. Thanks. That’s my Ifdah.” Cukup romantis intonasi anak muda itu menyapa pendengaran Firyal Rifdah malah nama yang baru digunakan sebentar tadi mengudang satu rasa yang sukar diungkap menerusi kata-kata.

Suka hati dia aje panggil aku dengan nama tu, tapi kenapa pulak hati aku rasa semacam aje.. isy.. parah..... hati ni dah mulalah tu. Nak lawan tokey..... Ifdah… erm best gak nama tu, lebih-lebih lagi bila disebut perlahan. Aduh! Romantis siot… gumam Firyal Rifdah. Dia tersenyum sumbing.

“Senyum tu sedekah, tapi jadi makruh bila senyum sorang-sorang. Apa pun boleh saya tahu kenapa tiba-tiba awak boleh senyum?” tanya anak muda itu perlahan.

Mata mereka mula menyapa.... bertentang lantas berbicara... Kali ini Firyal Rifdah gagal mengelak lantas membiarkan hati bebas mengungkapkan kata. Lidah sudah kelu bagi disapu dengan gam Uhu. Akhirnya gadis itu tunduk dan Hadif Raizal Isyraf tertawa perlahan.....

Sebelum ku kenal
Dirimu siapa
Aku tak kenali
Apa itu cinta
Setelah ku kenal
Dirimu sebenar
Kau cinta sejati
Kusandarkan jiwa

2 Ulasan:

  Anonymous

May 14, 2008 at 9:45 AM

dear puteri, Manuskrip baru ke ni? Wah! Dah start yer. Ungkapan Rahsia Hati best walaupun awalnya agak slow. Dah sampai tengah2 rasa macam tak nak lepas je novel tu. Sedih sampai jadi ternangis. Nak tahu apa jadi seterusnya pada Nurul Izzah. Novel puteri punya sentuhan tersendiri, ada kelainan dari novelist yang dah sedia ada. Good work and keep it up. From Lynn