Tugasan Tamat...






Alhamdulillah... Bersyukur ke hadrat ALLAH yang maha pengasih dan maha penyayang kerana atas izin-NYA aku masih lagi berada di sini untuk meneruskan bilah-bilah hari yang masih bersisa.

Semalam (13/11/2011), usai tugasan yang diamanahkan ke bahuku. Menghadiri sesi bertemu pembaca di Kompleks PKNS yang dianjurkan oleh Grup Buku Karangkraf bersama Novelist Eina Alfina dalam rangkaan promosi untuk memperkenalkan novel baru dan juga penulis baru yang bernaung di bawah lembayung mereka. Alhamdulillah kerana segalanya berjalan lancar dalam suasana yang meriah. Nak kata pembaca sampai tahap beratur nak suruh aku conteng (sign) kat novel aku yang mereka beli, bohonglah, tapi nak kata tak ada langsung lagi bohonglah tu. Kiranya adalah walau aku ni bukanlah penulis glamour. Apapun terima kasih aku ucapkan atas kesudian semuanya. Samada yang sekadar membelek tapi belum beli atau yang belek-belek lantas beli dan yang terus ambil dan bayar (tak payah nak belek-belek) Anda semua adalah insan-insan yang amat aku hargai yang membeli ruang dan peluang untuk aku teruskan langkah di platform yang sangat-sangat aku minati ini. Terima kasih daun keladi... next keluaran supportlah lagi ya.

Key ni antara gambar-gambar sekitar majlis tersebut... Hanya sebahagian kerana aku memang tak sempat nak ambil gambar atas sebab-sebab kamera tertinggal dan terlupa nak minta tolong team Grup Buku Karangkraf ambilkan... Tak apa. Kalau nak tengok lebih, layan saja Facebook Buku Prima.













Buat semua Team Grup Buku Krangkraf, sekalung ucapan terima kasih yang mampu aku berikan atas segala yang telah mereka lakukan. You all semua memang BEST! Moga kita masih berkesempatan untuk bertemu lagi especially buat Asyraf dan Encik Sufian yang sudi melayan borak.

Jom Beramah Mesra....

Buat penduduk di sekitar Lembah Kelang dan Shah Alam khususnya, andai anda berkesempatan dan punya waktu terluang, marilah sama-sama bertandang ke Komplek PKNS Shah Alam pada 12 dan 13 November ini.


Apa yang ada di sana?



Ha! tuju saja ke SHAH ALAM KNOWLEDGE & LIFESTYLE dan anda berpeluang untuk:

BerTemu dan BerMesra dengan Penulis@Novelis Groupbuku Karangkraf khususnya terbitan Buku Prima Secara Live
Di SHAH ALAM KNOWLEDGE & LIFESTYLE KOMPLEKS PKNS
Dari jam 2.00 - 5.00 petang.




Jom Kita Serbu! (Aku ada kat sana tau :-) )




Novel Terlaris

Aku nak berkongsi info ini dengan pengunjung Istana Kaca aku ni. Bukan apa, mungkin pada mereka yang agak pening kepala untuk mencari@memilih bahan bacaan terutamanya novel, ini boleh dijadikan garis panduan. Tapi bukanlah suruh terus ikut kerana kuasa penentu masih lagi di tangan yang nak membeli.

Alhamdulillah, sejak Suara Cinta Kita terbit hingga kini, ia masih lagi tersenarai dalam carta. Terima kasih ya ALLAH dan moga novel itu memberi kepuasan kepada pembaca di luar sana.


Di bawah ini aku sertakan carta top 10 yang dikeluarkan oleh Groupbuku Karangkraf untuk novel di bawah label Buku Prima.

Novel Terlaris Buku Prima Minggu Ini!

1. Bersatu Dalam Cinta - Azra Aryriesa
2. Cinta Kau Dan Aku - Siti Rosmizah
3. Andai Itu Takdirnya - Siti Rosmizah
4. Suara Cinta Kita - Erisya Riftha <--- Ni buku AKU Tau!
5. Akhir Sebuah Cinta - Siti Nur Dhuha
6. My Love Playgirl - Siti Nur Dhuha
7. Diari Cintaku - Eina Afrina
8. Bisik-Bisik Gelora - Fauziah Ashari
9. Sayangku Casper - MAzni Aznita
10. Betulkah - Amanda Aniqah


Sumber dari facebook Buku Prima.


Snackpack untuk novel Suara Cinta Kita akan aku muatkan di dalam blog ini nanti. Walau bagaimana pun, aku selitkan di sini reveiw yang buat oleh seorang pembaca yang telah selamat mengkhatamkan Suara Cinta Kita. Ikutilah apa katanya...

Nazira Wahab
Novel : Suara Cinta Kita
Penerbit : Buku Prima
Novelis : Erisya Riftha
Harga : RM25.90

Sinopsis :
Novel baru ini juga tidak kurang hebatnya. Mengisahkan seorang gadis bernama Iman dan pemuda bernama Arill yang sering bertelagah sewaktu di alam persekolahan dan mereka akhirnya ditakdirkan bertemu kembali di tempat kerja yang sama! Novel ini merungkai rantaian persahabatan yang terjalin, berseminya kasih sayang dan cinta serta kesadisan hidup menderita akibat perbuatan bapa tiri yang bernafsukan binatang! Apatah lagi setelah bertunang, Iman dipaksa untuk berkahwin dengan Murad pilihan menantu oleh bapa tirinya (sebenarnya HANTU) untuk melangsaikan hutang-hutang yang ditanggung oleh bapa tirinya yang tidak bertanggungjawab. Begitu menderita sekali Iman namun kerana kasih sayang dan simpati terhadap ibunya, dirinya menjadi korban. Lebih menyedihkan apabila ibunya sendiri terkorban di depan matanya dan impak besarnya Iman menjadi gadis yang murung. Saya berpendapat novel ini mungkin ada kebenaran dari kisah-kisah benar yang mungkin berlaku di alam realiti atau mungkin juga cerita ini hanyalah khayalan penulis semata-mata. Banyak teladan yang boleh dimanfaatkan sebagai contoh terdapat banyak dalil-dalil dan surah-surah yang diterjemahkan khususnya buat pembaca. Pengakhiran cerita, for me not bad. Still happy ending, so kepada sesiapa yang belum lagi membaca. Silalah membaca and enjoy!!

Another Baby....


Alhamdulillah... syukur ke hadrat Allah yang telah mempermudahkan segalanya. My another baby was bond today. Setelah sekian lama aku diulit penantian, akhirnya ia muncul juga.


"Yuhu! Akulah superhero pembenteras kejahatan. Magika... Magika Plis!!! dan kegiatan buli.”



Seri Anggerik yang sakit hati bila melihat Geng Phol selalu membuli rakan-rakannya sering berangan-angan untuk menjadi seorang superhero seperti yang sering ditontonnya agar dapat menjadi penyelamat dan pembenteras kejahatan yang kerap kali berlaku di sekolahnya.
Tapi dia sedar, kudratnya sebagai perempuan tidak memungkinkan untuk dia dilakukannya. Namun semua itu berubah bila dia bertemu dengan seekor haiwan yang boleh berkata-kata yang telah memberikan pertolongan agar dia dapat menewaskan Geng Phol dengan cara yang sangat luar biasa.

"Nah! Awak pakailah kalung ni." Armakus menghulurkan seutas kalung kepada Seri Anggerik yang kelihatan terpegun.

"Armakus! Cantiknya. Belum pernah saya lihat kalung secantik ni, tapi dari mana awak dapat? Erm, awak bertapa ke tadi?" tanya Seri Anggerik dengan rasa teruja.
"Wahai Seri Anggerik, kalung itu amat besar hikmatnya. Gunakanlah untuk membantu orang-orang yang berada di dalam kesusahan."

Mampukah Seri Anggerik mengikut segala yang diajar oleh Armakus kepadanya? Siapa pula Gen Phol yang sering membuat onar.

Dapatkan jawapannya di dalam novel Junior terbaru ku di pasaran....

My New Baby....

Assallammualaikum semua. Aku sedang dalam penantian.... penantian penuh keterujaan, penuh debaran, penuh suspen dan penuh segala rasa yang sukar untuk ku ungkapkan dengan kata-kata. Nak tahu kenapa... kerana tidak lama lagi My New Baby akan lahir. Moga kelahirannya membawa sinar yang bukan saja bisa menerangi diriku, tapi jua orang-orang yang berada di sampingnya... InsyaAllah.



Here I present a look like of my BaBy...



Kenangan itu cukup Indah

Pesta buku antarabangsa 2011 dah tiga hari melabuhkan tirai. Penat dan letih sebenarnya masih bersisa tapi bila mengenangkan keseronokan tika berada di sana, semua rasa tu dah gaya semilir angin yang sekadar singgah seketika. Cewah! Iya sesangatlah tu.

Tahun ni aku tak duty, tapi itu bukan bermakna aku tak boleh nak menyibuk-nyibuk mencelah di tengah lautan manusia yang berduyun-duyun datang membanjiri PWTC. Bukan apa, bookfair ni dah jadi macam acara tahunan untuk bertemu dengan rakan penulis dan novelist tersohor yang dah menempa nama di arena penulisan tanahair. Waktu nil ah nak berhai… hai… berlaga-laga pipi, berfoto-fotoan, bertukar cerita dan macam-macam lagilah. Kalau tak ada acara sebegini, jawabnya lu dengan lu punya hal dan gua dengan gua punya cerita. Tak adanya masa nak bersok sek sok sek… dan berhello-hello pun cam tak sempat. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab. Tu bagi yang bekerjaya seperti aku ni lah. Mana yang tak bekerja, dah tentu-tentu cari bahan untuk meneruskan agenda penulisan. Jadi mana datangnya masa nak berhello-hello. Iya tak….

Well, tahun ni book fair mencatitkan beberapa kenangan manis yang masuk dalam koleksi peribadi buat diriku sendiri. Erm jumpa novelist.. eh yang tu memang wajib dan dah jadi senarai teratas dalam carta memori. Tapi apa yang aku maksudkan adalah sesuatu yang berlaku yang tak diduga atau dirancang sama sekali.

Pertama aku dikejutkan sebagai salah seorang pemenang peraduan buat dialog yang anjurkan oleh Jemari Seni untuk product baru mereka Si Manis 17. Weh! Sapa kata penulis macam aku tak boleh masuk pertandingan. Boleh jer pe sebab pemilihan pemenangnya bukan ditentukan oleh siapa anda, sebaliknya kretiviti dan cara dialog itu diolah. Alhamdulillah bila kemenangan berpihak pada diri aku dan aku terima hadiah 4 baby baru yang buat pertama kalinya diterbitkan di bawah label Si Manis 17 di bawah naungan Jemari Seni. Syukur… memang aku happy terover happy sebab aku sendiri tak tahu yang aku menang. Surprise sesangat bila di beritahu oleh Kak Noor Suraya orang kuat JS di boothnya akan keputusan itu dan yang kelakarnya aku dah pun beli 2 dari 4 buku yang diterbitkan. Jadinya aku ada dua buah buku yang tajuknya sama. Erm tak apalah. Dah beli kan. Nanti aku fikirkan apa atau bagaimana nak buat dengan buku hak extra tu. Kalau ada yang berminat nak beli bolehlah text aku. Tajuk yang extra tu Blues Retro dan Maaf saya bukan Bibik. Kedua-duanya best. Punya daya tarikan tersendiri diolah oleh penulis yang berbeza dengan punya cara penulisan yang tak akan buat kita rasa jemu. Pentingnya bahasa dan gaya persembahan sempoi… tak berbelit dan dibelit dengan ayat bunga jiwang karat tapi kalau dihalusi bila menyentuh jiwa nan tulus mulus oleh cerita yang mereka garap. Tak percaya, cari sinopsisnya di sini www.jemariseni.com dan terus klik pada Adiwarna.

Okey itu yang pertama. Yang kedua pula adalah pertemuan aku dengan Abang Nizal Mohamad, si pengacara TV Al-Hijrah. Sebenarnya Abang Nizal ni senior aku dalam PKPIM dulu masa zaman bergelar pelajar. Tak tahu apa PKPIM.. aduh!!! Maksudnya adalah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. Kiranya Abang Nizal ni seangkatan dengan Brother Mustafa Kamil Ayublah. Erm tak kenal… Dah korang tak kenal, tak payahlah aku nak explain lebih lanjut. Buat penat jari aku menaip aje. So alkisahnya, memang aku dah lama betul tak jumpa brother Nizal ni. Ternampak dia pun bila lihat dia dah join TV3 dan kemudian beralih ke TV Al-Hijrah. Jadi masa di pesta buku tu sempatlah bertukar cerita walaupun tak lama sebab dia sendiri punya tugasan waktu itu. At least okeylah… better than nothingkan.

Yang last sekali aku jumpa semula dengan schoolmate aku masa aku sekolah rendah. Cubalah bayangkan dah berapa puluh tahun kami tak jumpa setelah tamat sekolah rendah dulu. Tak sangka dia datang bookfair dan sudi calling aku nak jumpa dan buat aku terharu dia boleh datang ke booth tempat aku tengah laypark. Memang terharu giloz. Nasib baik dia tu lelaki, kalau perempuan sah-sah dah jadi spektra airmata. Telemovie jejak kasih di pesta buku. Apapun thanks to Mejor Mazli yang sudi perkenalkan isteri dan anak-anaknya kat aku dan yang buat extra terharu bila wife dia jadi salah seorang yang suka baca tulisan aku. Alhamdulillah. Tulah punya leka berbual sampai aku lupa nak amik gambar dia dan sign kat buku yang dia belikan tuk wife dia tu. Sakan punya gebang. Apapun thanks a lot Mazli. Ko masih tak banyak berubah dan aku masih lagi boleh cam muka ko walau pun dah ada pengembangan dari sudut fizikal.

Gambar-gambar yang aku tangkap masih lagi tersimpan dalam memory kamera. Aku belum sempat upload di sini atau pun di Facebook. InsyaAllah dalam sikit waktu lagi aku akan buat untuk tatapan sesiapa saja yang sudi singgah di istana kaca ku membaca coretan merapu yang tak merapi aku kat sini.

Till than, Cu when ICU
Just me next2U

Spring Cleaning...

MasyaAllah... lamanya aku tak balik ke Istana kaca aku ni... Habis tiap penjuru bersawang dan bersarang labah-labah. Memang aci gaya aku ni boleh jadi penternak labah-labah yang berjaya aje. Kalaulah boleh dijual, agaknya mesti untung berkoyankan... Apalah aku ni.

Sebenarnya bukan tak ingat nak kembali ke Istana kaca setelah ada sebuah lagi istana hinggap yang bolehlah kalau nak dikatakan lebih agam dari yang ni... hehehee statement sah-sah gaya ada rotan akar tak berguna jer aku ni. Memang aku akui sejak ada account di FB, masa aku memang banyak di sana. Sebabnya mungkin kerana coretan lebih ringkas bukan ala karangan agaknya. Tapi betul aku tak lupa pada Istana Kaca aku ni. Iyalah cam orang kata, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula Istana Kaca ku yang cantik berkilau ni. InsyaAllah lepas ni aku akan cuba untuk kerap pulang meninggalkan tanda.

Erm hari ni kat office, taklah terbeban sangat, cuma hand over kerja dari consultant yang sedang tunggu masa untuk angkat kaki jer. So banyak juga task baru yang masuk dalam portfolio tugasan aku and of course learning process akan berlangsung. Kena banyak sabar dan fokus.

Hujung minggu ini InsyaAllah aku akan berada di PWTC sempena Pesta buku Antarabangsa yang sedang berlangsung. Tahun ni aku tak duty lagi pun tak ada buah cinta baru yang sempat aku siapkan dan berilah peluang kepada orang lain pulakkan. Takkan lah semedang tiap tahun muka aku jer. Orang pun busan. Walau tak duty, aku tetap turun untuk sama-sama memeriah dan mengecohkan keadaan. Pesta buku ni macam gak raya, walaupun raya hakikatnya dua kali setahun. Kesempatan beginilah selalunya aku gunakan untuk bertemu dengan para novelists yang aku minat. Membeli buku yang baru keluar dari oven kilang dan macam-macam lagi. Jadi kehadiran tu secara automatiknya masuk dalam senarai wajib.

So sesiapa yang belum lagi berkunjung ke pesta buku tu, jangan lepaskan peluang. Minggu ini adalah minggu terakhir untuk anda semua melakukannya. Jadi apa tunggu lagi... Yuk kita sama-sama pergi dan jumpa di sana....

Dah dua minggu rupanya...

Erm sedar tak sedar, dah dua minggu rupanya Bulan January 2011 ni ekk. Alamak kejapnya. Tapi tulah kan, kalau sibuk tu memang aci tak sedar jer masa berlalu...[kaedah aku ni konon tu sibuk bebenolah]. Erm cuba gak aku imbas kenangan yang dah terakam sepanjang tahun 2010. Banyak dan amat banyak. Ada berbagai. Suka, duka, tawa dan tangis. Suka dan tawa bila apa yang aku lakukan dan usahakan menampakkan hasil dan ianya diterima dengan baik. Alhamdulillah. Duka dan tangis bila aku kehilangan orang-orang yang aku sayang. Arwah Mak pada 18 November dan arwah Kak Nah pada 18 December. Memang memberi pukulan hebatlah, cuma bezanya Arwah mak memang kami dah sedia maklum akan penyakitnya dan sempat lakukan yang terbaik tentunya sepanjang kesempatan itu masih bersisa, tapi Arwah Kak Nah memang kira kejutan. Walau tahu dia tak sihat tapi pemergiaannya secara mendadak tu memang memberikan satu tamparan yang cukup hebat buat diriku lebih-lebih lagi aku memang rapat dengan arwah. Banyak yang dikongsinya dengan aku semasa hayatnya termasuklah masalah peribadinya. Selama sehari setengah aku berkampung di hospital dan akhirnya dia pergi juga. Yang mampu ku lakukan untuk kedua-dua insan ini adalah terus mengenang mereka dalam doa moga roh mereka akan ditempatkan bersama insan-insan solehah di sisi-Nya. Aku sempat mandikan jenazah arwah mak dan arwah Kak Nah disamping memandikan, aku juga berkesempatan turut sama membantu mengkafankannya dan yang paling tidak akan aku lupa hingga akhir hayat bila terlihat senyuman Kak Nah sewaktu proses mengkafannya hampir selesai. Wajahnya cukup berseri dan dia seakan lena tanpa segala permasalahan yang selama ini membelenggu dirinya. Syukur Alhamdulillah...

Tahun ini aku tak tahu apa yang akan menanti mengiringi perjalananku. Namun biar apapun aku harap aku masih kuat untuk menghadapinya dan dipermudahkan untuk mengatasi. Moga kerahmatan dan kemudahan melaksanakan urusan di sini masih diberikan kepadaku, insyaAllah.

Ni yang sempat aku lakukan pada hujung minggu yang lalu dan semalam aku bawa sebahagiannya ke pejabat untuk dikongsikan dengan teman-temanku. Yuk Layan....




Marble Cheesecake versi Pu3