Snack Pack V KIMK

Mencari tenang di dada laut, menganyam damai dipelukan takdir…-moga redo-Nya menjadi milikku

“Shiza, apa yang engkau rasa setiap kali kau solat?” Entah bagaimana Melissa bisa mengajukan soalan sedemikan.

Bulat mata Eliza mendengarkan soalan yang penuh makna daripada temannya itu.


Shahiza tersenyum. Wajahnya tampak berseri-seri, mungkin kesan daripada wuduk yang menyelaputi wajahnya.

“Solat itu tiang pada agama. Kalau tidak dijaga sebaiknya, maka mudahlah roboh dan tak mustahil binasa. Sama macam kita bina rumah. Kena teguh tiangnya untuk memastikan rumah itu tidak roboh. Tiap kali bersolat, kita menyerahkan seluruh jiwa kepada pencipta kita, yakni Allah azzawajalla. Menunaikan segala suruhan dan perintah yang telah ditetapkan-Nya.

“Bila kita lakukan dengan khusyuk dan ikhlas sepenuh hati, pasti kita akan merasakan kenikmatan dalam ketenangan yang tak mungkin akan kita perolehi dengan cara yang lain,” terang Shahiza lembut. Matanya menyapa ke wajah teman yang masih lagi duduk di atas katil. Hatinya dipercik pertanyaan mengapa tiba-tiba gadis itu bertanyakan soalan sedemikian.

“Kenapa tiba-tiba kau tanya soalan macam tu, Liss?” Eliza menyoal. Dia juga hairan mendengar pertanyaan gadis itu. Dahinya sudah berkerut-kerut.

Melissa sekadar mempamerkan segaris senyuman.

“Saya suka dengar laungan azan. Rasa damai dan sayu, lebih-lebih lagi waktu subuh,” akui Melissa lagi membuatkan Shahiza dan Eliza bertukar pandang. Sedikit kaget dengan apa yang mereka dengar.

“Shiza, boleh kau beritahu aku apa istimewanya Islam?” tanya Melissa lirih. Matanya tepat memanah wajah temannya itu.

Shahiza tergamam. Mencari maksud pada pertanyaan gadis itu. Selama ini tidak pernah Melissa bertanya perkara sedemikian.

“Kenapa tiba-tiba kau tanyakan soalan itu?” Shahiza menjawab dengan soalan. Matanya masih tenang merenung wajah gadis yang mula kelihatan resah.

Melissa diam. Masih berkira-kira apakah perlu dia berterus terang akan apa yang sudah lama tersimpan di lipatan ruangan hatinya. Tegakah dia meluahkan segalanya?

“Liss, aku tahu ada yang kau simpan dan pendamkan. Cuba beritahu aku. Mana tahu kalau-kalau kita boleh atasi resah yang kau rasa tu bersama,” pujuk Shahiza lembut. Tangan temannya diusap perlahan. Melissa masih diam. Mulutnya seakan terkunci biarpun nalurinya ingin bercerita. Perlahan-lahan dia menundukkan wajahnya. Ada air jernih yang mula hadir di birai mata.

“Islam adalah pelengkap untuk semua agama yang terdahulu. Kerana itulah tiada lagi agama lain yang diturunkan selepasnya. Seperti mana yang disebut dalam al-Quran pada beberapa surah antaranya, Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redai Islam itu jadi agama bagimu. Surah al-Ma'idah, ayat 3.

“Begitu juga Allh tegaskan dalam ayat yang maksudnya, Barangsiapa mencari agama selain Agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. Surah Ali Imran, ayat 85.

“Liss, kenapa tiba-tiba kau tanya semua ini?” tanya Shahiza perlahan. Direnung wajah temannya itu penuh kasih. Dalam hati dia bermunajat, berharap apa yang dirasanya benar.

“Aku dalam pencarian cuma…” Melissa tidak menyudahkan kata-kata. Birai matanya kian basah. Pantas Shahiza mengusap bahunya lembut.

“Sabarlah, Liss. Aku akan tolong sedaya yang aku mampu, apa yang aku tahu. Selebihnya kita tanya pada orang yang lebih arif dan lebih elok kalau kau dapat mengikuti mana-mana kelas dengan guru yang bertauliah. Tentang agama ni tak boleh buat main-main. Kita kena faham betul-betul agar tidak terus diselubungi kekeliruan dalam ketidakfahaman,” nasihat Shahiza perlahan.

“Shiza, kau boleh cerita pada aku tentang Islam?” pinta Melissa. Wajahnya penuh harapan. Hati yang resah perlukan penawar dan dia yakin itulah penawar yang boleh meredakan apa yang dirasanya kala ini.

Shahiza tersenyum. Permintan temannya itu agak sukar untuk dipenuhi, tapi dia tidak pula mahu menghampakan. Sedar Melissa benar-benar inginkan santapan untuk jiwanya tika itu.

“Islam agama yang bersih daripada kemusyrikan. Islam hanya menyembah satu Tuhan sahaja yakni Allah yang mencipta segala yang ada di bumi dan lautan. Kita mengabdikan diri kepada-Nya dengan sesungguh dan seikhlas hati. Segala kebaikan kepada makhluk lain tak lepas kerana cinta kepada Allah seperti firmannya yang bermaksud:

Ingatlah, hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (daripada syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata), Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar. Surah Az-Zumar, ayat 3.

“Islam dibina di atas lima rukun yang amat kukuh yakni mengucap syahadah, solat, puasa, zakat dan juga haji pada yang berkemampuan yang akan membawa seseorang itu menjadi muslim sebenar andai dia melaksanakan keseluruahan asas itu. Kemudian ianya digandingkan enam rukun untuk memantapkan keimanan dalam diri iaitu percaya kepada Allah dengan sesungguhnya, tidak menyembah selain daripada-Nya, percaya kepada Rasul, percaya dengan segala kibab yang telah diturunkan kepada nabi-nabi yang terdahulu, percaya kepada para malaikat yang sentiasa menjaga dan mengawasi sekalian makhluk, percaya kepada hari akhirat di mana pada hari itu semua akan dibangkitkan untuk diadili apa yang telah dilakukan selama hayat dan akhir sekali percaya kepada qadak dan qadar bahawa segala yang terjadi adalah dengan izin daripada-Nya juga.” Shahiza menerangkan segala yang asas.

Melissa mengerutkan dahi. Sukar untuk dimengertikan apakah maksud dengan kerutan itu.

“Kenapa, Liss? Kau macam musykilkan sesuatu,” tanya Shahiza lembut. Al-Quran yang dibacanya sudah ditutup. Kini tumpuan diberikan sepenuhnya kepada gadis yang ada bersamanya.

“Maksud kau apa yang terjadi dan aku rasa sekarang ni pun atas keizinan daripada Tuhan, begitu?” soal Melissa.

Shahiza menggangguk-anggukkan kepalanya. “Mungkin bukan hanya sekarang tapi sejak lama dulu, cuma mungkin kau tak perasan atau mungkin tidak sekuat seperti yang kau rasakan sekarang ini,” balas Shahiza.

“Apa yang harus aku lakukan, Shiza?” Melissa bertanya, inginkan pandangan dan bantuan.

“Ikutlah kata hati kau. Kalau kau inginkan sinar ketenangan itu, carilah dengan sebenar-benar pencarian. Sesungguhnya tak ada paksaan dalam Islam seperti mana yang disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud, Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut dan dia pula beriman kepada Allah maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Surah al-Baqarah, ayat 256.

“Yang ingin aku pesan, usah mencari secara bersendiri, usah menafsir melalui pandangan mata sebaliknya bergurulah dengan orang yang arif. Bertanyalah daripada orang yang berpengetahuan agar kau tidak sesat dalam sebuah pencarian. Islam itu indah dan sempurna, hanya terkadang manusia yang suka mencacatkan keindahan dalam kesempurnaan yang telah sedia ada.” Lembut Shahiza menasihati temannya itu.

Bahu Melissa diusapnya berkali-kali. Senyuman terukir di bibirnya. Mudah-mudah gadis itu bertemu dengan apa yang dicarinya...

0 Ulasan: