Snack Pack III KIMK

SEJAK terjadinya perpisahan tidak rasmi di antara Shahiza dan Aiman Rahimi, gadis itu menjadi seorang workaholic. Dia seolah tidak lagi mengenal siang atau malam. Sentiasa menyibukkan diri dengan tugasan. Mungkin itu cara dia melupakan segala bebanan perasaan yang ditanggung.

Maya sekadar mampu melihat. Hendak menasihati, dia sendiri bimbang. Mahukah Shahiza mendengarnya? Sedangkan dia tahu bukan mudah bagi seorang perempuan melalui detik-detik kekecewaan tambahan pula Aiman Rahimi lebih betah membisu. Meski Shahiza menafikan perhubungan mereka lebih daripada seorang teman, tapi jauh di sudut hati Maya, dia percaya tentunya anak muda itu punya kedudukan yang agak istimewa di hati temannya itu. Jika tidak, masakan sebegitu sedih Shahiza dengan apa yang dilakukan oleh Aiman Rahimi terhadapnya?

Sekarang ini payah benar untuk mereka bertemu Shahiza. Awal pagi dia keluar ke pejabat dan pulang agak lewat. Hujung minggu dihabiskan dengan tugasan yang dibawanya pulang ke rumah. Dia seakan lupa untuk bersama teman-teman yang lain seperti mana dulu. Duduk bersantai menonton TV sambil bergurau senda dan berkongsi cerita. Kini rumah mereka agak sepi.

Maya mengeluh. Hatinya tetap dipagut kebimbangan. Dia tidak mahu Shahiza mempertaruhkan kesihatannya semata-mata kerana kelukaan yang dialaminya. Sudah berkali-kali dilihat gadis itu bertarung dengan kesakitan yang singgah terutama bila tiba hari Penaklukan Tentera Jepun setiap bulan. Tentu gadis itu akan berkerekot di atas katil sepanjang hari.

Malam minggu itu mereka berpeluang untuk berkumpul sambil menonton rancangan hiburan di Astro. Sesekali terdengar suara gelak tawa mereka bila ada yang lucu mencuit tangkai hati.

“Dah lama kan kita tak duduk macam ni? Selalunya asyik sibuk dengan aktiviti peribadi.” Maya mencapai mug berisi Nescafe kegemarannya. Sesekali dia mencuri pandang ke arah Shahiza yang duduk di sebelah Melissa.

“Betullah, rasa rindu pulak kat kau orang. Ialah, nama saja kita ni duduk serumah, tapi payah betul nak jumpa. Ha, Shiza! Aku tengok kau sejak akhir-akhir ni macam dah tak ingat jalan nak balik rumah saja. Asyik nak cepat pergi office, kemudian balik pulak lewat. Kenapa? Banyak sangat ke kerja engkau tu?” tanya Eliza. Matanya terus memaku ke wajah Shahiza yang tenang.

“Bukan aku tak ingat jalan nak balik, cuma office aku tu dah ada katil dan tilam. Silap hari bulan aku boleh tidur terus dekat sana.” Shahiza menjawab selamba. Dicapainya sekeping biskut tawar yang terhidang di atas meja.

“Shiza, aku tengok engkau ni macam nak lupakan dunia. Asyik kerja tak tentu masa, kenapa? Problem tak settle lagi ke? Ha! Makanlah biskut tawar tu. Nanti engkau pun jadi macam biskut. Kejap ada… kejap tak ada,” omel Maya bila melihat temannya asyik mengunyah biskut yang ada.

Shahiza masih membisu, seakan tidak mendengar apa yang ditanya dan omelan temannya itu. Dia tetap asyik mengunyah biskut yang masih berbaki di tangan. Seakan menikmati keenakan biskut tawar yang sememangnya tidak berperisa itu.

“La, takkan kau tak tahu, Maya? Si Shiza ni kan minah biskut. Spesis yang tak boleh jumpa biskut. Semua jenis dia sapu, tak ada pilih-pilih punya. Untung siapa yang kahwin dengan dia. Tak payah beli beras. Beli saja biskut tawar tu barang dua tiga tin,” usik Eliza.

Berderai tawa mereka mendengarnya.

“Eh! Kamu orang tahu nda…” Tiba-tiba Melissa mencelah. Dialek Sabahnya jelas kedengaran.

“Macam mana kami orang nak tahu kalau kau tak bagi tahu?” potong Eliza sebelum Melissa sempat menghabiskan ayatnya.

Tersipu-sipu gadis comel itu bila sedar akan kelekehan soalannya tadi.

“Ialah, ni saya nak kasi tahulah. Semalam saya masuk rehatminda.com. Kamu orang tahu nama sebenar si Bullet tu Aiman Rahimi. Baru semalam saya tahu,” terang Melissa tersenyum bangga. Begitu teruja menceritakan maklumat yang diperolehinya.

“Apa punya slowlah engkau ni, Liss. Orang dah lama tahu. Nampak sangat engkau ni ketinggalan. Itulah, suka sangat naik Rapid KL. Cubalah sesekali naik Star LRT atau Putra, kan cepat?” sakat Eliza sambil tertawa nakal.

“Tahulah kau selalu sembang dengan dia. Eh, Eliza, kau ada apa-apa ka dengan si Bullet tu?” Melissa tidak mahu mengalah dengan usikan Eliza. Pantas dia melancarkan serangan balas bila melihat wajah Eliza seakan berseri mendengar cerita pasal bullet.

“La, nak ada apa-apa apa pulak? Pandailah engkau, Liss. Tak ada apa-apalah. Erm, budak berhingus lagi, tak mainlah. Cuma dia tu baik dan cute sangat. Eh, kau orang pernah tengok gambar dia? Ha, kejap ya.”

Eliza menghilang ke biliknya. Seketika kemudian dia kembali bersama beberapa keping gambar sambil dihulurkan pada teman-temannya. Dia masih tersenyum.

“Gambar siapa ni? Handsome, bah. Tapi macam muka Cina,” komen Melissa sambil menyerahkan gambar yang telah dilihatnya kepada Maya dan Shahiza.

“Ha! Itulah gambar Bullet. Hari tu aku minta tengok, tak sangka dia nak poskan pada aku,” terang Eliza bangga. Memang Bullet di antara chatters yang cukup famous di rehatminda.com.

Maya merenung Shahiza, cuba mencari riak daripada wajah selamba temannya itu. Namun gagal. Gambar tersebut direnungnya sekilas kemudian kembali memberi tumpuan kepada lagu yang sedang berkumandang. Sesekali terdengar nyanyian kecil dari ulas bibirnya mengikut seni kata lagu yang sedang dialunkan oleh Anuar Zain. Mungkin tidak mahu mengingati apa yang sedang dialaminya.

“Woi, Shiza! Kau ni apa hal sebenarnya? Kalau lagu Anuar Zain, amboi, bukan main layan lagi. Apa kau tengah tangkap cintan ke?” sergah Eliza. Sedari tadi diperhatikan gadis itu bagaikan tidak mempedulikan akan apa yang mereka bualkan.

Tersedak-sedak Shahiza menerima sergahan Eliza. Pantas Maya mengusap-usap belakangnya bagi meredakan sedikit keperitan yang mungkin dialami.

“Isy, kau ni, Eliza. Kalau nak jerkah pun tengoklah dulu apa yang member tengah buat. Apa nak bunuh kawan ke?” bebel Maya.

Dia menghulurkan tisu kepada Shahiza. Merah padam muka temannya, mungkin menahan rasa perit yang masih bersisa akibat daripada keterkejutan itu. Perlahan-lahan dia meneguk air daripada mug yang berada di hadapannya.

“Shiza, betul ke kau tengah bercinta? Siapa mamat yang bertuah dapat rebut hati engkau tu? Kasi tahulah sama kita orang,” pinta Melissa. Dia juga sebenarnya tertanya-tanya akan perubahan yang dialami oleh temannya itu cuma tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk bertanya.

“Kau dengarlah serkap si Eliza tu. Mana ada. Lagipun aku tak ada masa nak bercintan-cintun ni. Kalau bercinta dengan kerja yang melambak dekat office tu, adalah. Lainlah Eliza. Dekat rehatminda.com pun bersepah yang nakkan dia.” Tersengih Shahiza bila melihat Eliza tersipu-sipu malu.

“Jadi betul ka kau serius sama si Bullet tu Eliza?” tanya Melissa inginkan kepastian.
Dia agak sangsi dengan apa yang didengarnya. Apa yang dia tahu TwinTower salah seorang chatters di rehatminda.com juga sedang mengintai peluang untuk rapat dengan Eliza. Begitu juga dengan MrRomeo. Justeru dia tidak pasti mana satu benarnya. Lama direnung wajah gadis yang asyik tertawa itu.

Tak faham aku dengan budak sorang ni. Semua dilayan. Kena jual nanti… ha, siapa yang susah? desis hati Melissa bimbang.

“Woi, Liss…”

“Opocot, Tigerwood makan kayu. Cinabeng kau, Eliza. Buat saya terkejut saja. Nasib baik saya nda ada sakit jantung. Kalau ada sudah lama saya ‘jalan’. Ha! Siapa nak jaga pakwe saya yang handsome tu?” Cepat sahaja tangan Melissa mencampakkan bantal ke arah Eliza.

Rakan-rakan yang lain hanya tertawa melihatkan aksinya. Dia mengurut-urut dada bagi mengurangkan rasa terkejut yang hebat menyerang jantungnya.

“Yalah, yang kau berangan tu kenapa? Lain kali ajak aku sama. Baru tak kena sergah. Erm… kau ada pakwe ke, Liss?” sakat Eliza nakal. Dia sudah tertawa melihat perubahan di wajah Melissa.

“Eh, Shiza! Apa kes ha yang engkau minat sangat dengan si Anuar Zain tu? Cuba explain dekat aku. Aku tengok lembut semacam saja,” omel Eliza tersenyum. Sekeping keropok dicelupkan ke dalam sos cili sebelum disumbatkan ke dalam mulutnya.

“Amboi, mulut kau, terlebih insurans ek? Sedap saja kutuk dia macam tu. Apa salahnya kalau aku minat dekat dia? Okey apa. Dia tu bukan lembut, sebaliknya sifat romantik dia yang tak dapat disorok. Teserlah sangat. Kenapalah kau ni bebal sangat. Tak boleh nak bezakan antara lembut dengan romantik,” balas Shahiza selamba menembak.

Bibirnya masih lagi meniti lagu Keabadian Cinta yang sudah lama selesai dinyanyikan oleh anak muda itu. Entah mengapa dia terus mengalunkan lagu itu perlahan-lahan. Damai singgah di penjuru hati.

“Biarlah, Eliza. Shiza nak layan perasaan dia. Mesti minah ni sedang dilamun cinta. Kalau nda masakan happy saja saya lihat,” giat Melissa tersengih. Seronok bila melihat Eliza terkesan dengan kata-kata Shahiza tadi. Dia turut sama menyanyikan lagu tersebut.

Shahiza tersenyum kelat. Dia merenung wajah Melissa yang masih dihiasi senyuman. Erm, dilamun cinta? Hahaha. Lucunya serkap engkau, Liss. Aku tengah pujuk hatilah, beb. Takkan aku nak tunjuk dekat kau orang yang aku tengah sedih gila? Tak pasal aku kena soal macam orang salah dalam tahanan reman. Tak rela aku, bisik hatinya sendiri.

“Yalah, kalau bercinta pun takkan lagu mamat tu saja yang dijadikan tema? Atau mungkin lagu tu saja yang dia hafal dan boleh nyanyi? Cubalah nyanyi lagu Spider ke, Peterpan ke. Cari lelaki yang macho sikit. Erm, macam Hrithik Roshan ke, Arnold Schwanzeger yang nama dia memang payah nak eja tu ke, Tom Cruise ke, Faizal Tahir, Rosyam Noor, M. Nasir, Zainal Abidin. Tam Spider tu pun kira okey jugak. Worst to worst tu Fazli Zainal pun kira bolehlah. Ini Anuar Zain! Isy, tak sesuai,” komen Eliza sambil membuat gaya Raja Azura dalam rancangan Melodi dulu.

Dia merenung tepat ke wajah Shahiza yang sudah terdiam. Ah! Kenapa pula dia tiba-tiba diam? Salah ke apa yang aku cakap? Eliza menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Kalau aku, lebih baik Zinadine Zidane atau Michael Ballack atau Kaka, Messi, Xavi, Torres. Ronaldinho pun kira okey, bah.” Seorang lagi teman memberi pandangan. Melissa tersengih-sengih. Memang dia cukup meminati sukan yang satu itu malah sanggup bersengkang mata menyaksikan pemain-pemain idolanya beraksi.

Shahiza hanya diam. Ah! Kali ini dibawa senarai pemain bola sepak bertaraf dunia pula. Kalau tadi bintang filem dan penyanyi. Aduh! Jauhnya minda dia orang ni terbang.

Macho ke dia orang semua tu?” tanya Shahiza selamba. Dia sendiri tidak pasti bagaimana definsi macho pada pandangan gadis itu, tapi padanya macho adalah sesuatu yang subjektif. Mengikut pandangan individu.

Maya sudah memuntahkan tawa. Mahu saja dia berguling-guling di atas karpet, geli hati melihat wajah teman-teman yang tadinya bukan main riak dengan nama-nama lelaki yang mungkin jadi pujaan kini cemberut dengan serangan tak berperasaan daripada gadis yang selama ini sentiasa menjaga tutur. Padan muka... ejek Maya di dalam hati.

“Suka hati dialah nak ambil lagu apa atau siapa menjadi tema epilog cinta dia. Lagipun tu kan cinta dia, yang kau sibuk tu kenapa? Kau jealous sebab tak boleh buat macam tu sebab kau tak punya cinta atau sebenarnya kau memang tak pernah bercinta? Harap pakwe saja keliling pinggang tapi satu pun tak apply jadi buah hati kau,” sakat Maya bersama tawa yang masih bersisa.

Eliza menjegilkan matanya. Geram dengan keceloparan mulut gadis genit yang tak pernah lepa daripada mengenakan orang lain. Kalau aku ikutkan hati mahu saja aku plaster mulut murai laser minah kepoh sorang ni. Biar tak boleh bercakap barang sebulan dua, rengus Eliza menahan radang. Cemberut wajahnya makin ketara. Lebih-lebih lagi mendengarkan butir bicara Maya yang semakin galak mentertawakan dirinya.

Shahiza hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala. Antara Eliza dan Maya, memang tidak pernah tandus dengan usikan. Ada-ada sahaja bahan yang lahir di minda untuk mengenakan antara satu sama lain. Namun untung juga ianya sekadar gurauan yang tidak meninggalkan kudis yang berparut di hati.

“Apa? Kisah cinta di pasaran? Banyaklah engkau punya hangat. Nak rasa suam pun tak sempat, inikan pula hangat. Lupakan sajalah.” Shahiza bersuara perlahan. Ada getar di hujung suaranya.

Maya sekadar memerhati. Ah, sabar, Shiza. Jangan kau teriak tang ni. Sat lagi habis gamat satu rumah. Mereka berdua ni tak tau lagi. Maya mengusap tangan rakannya lembut, mengerti maksud di sebalik kata-katanya tadi.

“Alah, Eliza, nasib dia nyanyi lagu balada. Kalau Shiza nyanyi lagu dangdut. Ha! Lagi parah.” Berderai tawa mereka bila mendengar kata-kata Melissa.

“Woi! Apa kata kita berkaraoke malam ni nak? Daripada kita berbual kosong saja lebih baik layan lagu. Nyanyilah sepuasnya. Kejap ya aku pi pasang DVD yang aku rembat dekat pasar malam semalam.”

Maya mematikan siaran Astro sekali gus menamatkan topik yang difikirnya bakal membawa temannya ke destinasi kisah sedih semula. Dicapainya DVD yang dibelinya tempoh hari. Dipasangnya. Biarlah malam itu mereka menghabiskan waktu dengan melayan berbagai lagu yang ada.

Ah! Bestnya. Terasa macam masuk pertandingan Malaysian Idol pula bila keempat-empat mereka mula mengalunkan suara mengikut lagu yang dipilih. Biarpun lari daripada pitching, setidak-tidaknya jiwa yang resah dan gelisah dapat diredakan meski bukan melenyapkannya terus.

-Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai dan menerima apa yang kita dapat. Lantas redo dan bersyukurlan justeru tiap yang allah beri dan tentukan itu pasti punya hikmah yang maha besar dan bernilai dari-Nya. Salam dalam doa penuh kasih kerana-Nya... – AH-

0 Ulasan: