Snack Pack KIMK

Walaupun buah cinta kedua ku laksana baby yang sedang menanti due date untuk dilahirkan, namun ada juga yang minta aku berikan sedikit input atau gambaran tentang plot cerita kali ini. Buat yang sudi menatap, terimalah sedikit snack pack dari aku

Dugaan dan ujian dalam sebuah kehidupan adalah tanda kasih dia pada hamba-Nya. Untuk memperkukuhkan keimanan dan ketabahan yang masih rapuh, mengandakan kesabaran yang masih belum ampuh. Andai reda menjadi pengalas langkah, pasti ganjarannya adalah yang terindah untuk kita genggam… - puteri imaneisya –

MAYA terkedu. Perkahwinan tanpa rela tidak mampu dihindar. Arahan yang diberikan oleh keluarganya secara tidak langsung laksana satu perintah yang harus dipatuhi. Bagaimana untuk dirinya melupakan orang yang sedang bertakhta di mahligai hati sedangkan itulah puncak kasih sayang dan cintanya tika ini?

Dia benar-benar buntu. Tercari dan mencari formula terbaik bagi mengatasi segala kerumitan yang sedang melingkari jasadnya. Tidak mahu ada yang terluka atau dilukakan namun malangnya hingga saat ini Maya masih ditamu kebuntuan.

Shahiza merenung kegelapan malam seakan merenung nasib dan perjalanan hidupnya. Dibesarkan di rumah anak-anak yatim tidak pernah memberikan kesempatan untuk dirinya mengenali siapa gerangan orang tuanya malah sejarah kewujudannya juga tidak seperti orang lain.

Dia tercipta sebelum terpatrinya ikatan yang sah. Justeru dia dihumban lantas dipungut dan dibawa oleh Puan Aminah untuk berteduh di rumah anak-anak yatim. Di situlah dia membesar dan mengenali erti kehidupan. Menumpang kasih pada wanita yang dipanggilnya ibu.

Eliza bagai tidak percaya. Mama yang dikasihi boleh bertindak sedrastik itu hanya kerana terpengaruh dengan kata-kata seorang lelaki yang bergelar suami. Mata mama dikaburi dengan kepura-puraan dan sikap hipokrit yang sedang dipentaskan oleh suami barunya. Mama berubah sejak pemergian papa hingga tidak lagi menghiraukan maruah anak yang hampir-hampir tercemar dek kerakusan orang yang dipercayai.

Lantaran itu Eliza nekad. Dia perlu keluar dari penjara yang satu ketika dulu pernah menjadi syurga buat mereka sekeluarga. Biarlah mama dengan dunianya… hidup bersama lelaki durjana yang pandai bermuka-muka.

Melissa tega meneruskan pencarian. Mencari sinar untuk menerangi sebuah kembara dalam perjalanan hidupnya. Sudah lama dia mengkaji, sudah lama dia meneliti, namun keyakinan itu belum tumbuh. Dia perlukan teman yang boleh membantu. Bukan sekadar bersenda loka dan bergurau senda, tapi lebih daripada itu. Teman yang boleh mampu menunjuk arah kala diperlukan. Sudah bosan meneruskan kehidupan tanpa matlamat dan halatuju.

Justeru dia nekad. Kali ini dia harus berani mengorak langkah. Pedoman itu harus dicari lantas digapai andai dia tidak mahu terus sesat dalam kelam yang semakin membalam.Mereka ditakdirkan bertemu dalam kancah persahabatan yang telah ditentukan. Meski awalnya tidak mengenali di antara satu sama lain namun itu bukan halangan. Mengharungi hidup dalam kemelut yang tidak pernah surut dalam arus gelombang dan gelora sebuah perjalanan…