Snack Pack II KIMK

Kenapa diri dipanggang kerinduan?
Mengapa hati diramas kenangan? – Mampukah diharungi???


Shahiza… kau menangis??? Maya ingin melangkah ke dapur, sewaktu melintasi bilik Shahiza, kakinya terhenti. Bagai ada sesuatu yang memahat langkahnya. Diamati apa yang didengarnya. Sah! Suara tangisan. Dari pintu bilik yang tidak bertutup rapat, dilihatnya Shahiza masih lagi bertelekung. Bertafakur di sejadah dengan lelehan air mata.
Kenapa pulak dengan Shiza ni? Tak pernah pun aku lihat dia nangis-nangis macam ni... Erm, dia tak marah ke kalau aku masuk? Dalam rasa yang berbelah bahagi, Maya tetap menguak pintu bilik Shahiza.

Terkejut Shahiza bila terpandang Maya yang sudah tegak bagaikan tiang telefon di hadapannya. Pantas tangannya menyeka lelehan air mata yang masih berbaki. Senyum diukir sedapat mungkin. Tidak mahu Maya tahu pergolakan yang sedang dihadapinya.

“Shiza, kenapa kau nangis?” tanya Maya sambil duduk bertentangan dengan gadis itu. Lama wajah Shahiza ditenungnya, seolah mencari jawapan di sebalik redup pandangan mata.

“Tak ada apalah, Maya, Erm, mata aku masuk habuk,” dalih Shahiza. Segera dilarikan wajahnya daripada terus menjadi destinasi persinggahan renungan temannya.

“Dah berapa tahun kau tak kemas bilik sampai berhabuk serata tempat? Shiza, aku rasa kau ada sorokkan sesuatu daripada aku. Erm, kau tak percaya pada aku ke sampai tak mau langsung kongsi kesusahan dan kesedihan kau? Selama ni kau dah banyak bantu aku tapi kenapa kau tak mahu aku bantu kau pulak?” soal Maya bertalu-talu sambil merapati temannya itu.

Air mata Shahiza kembali mengalir.

“Maya, aku sekadar insan biasa, tak punya apa-apa kelebihan malah banyak sangat kekurangan yang aku miliki. Ada tikanya tewas dalam arus perasaan dan gelora hati. Aku tak mampu nak hadapi dugaan yang datang dengan tenang. Aku tak dapat nak lenyapkan kasih sayang dan rindu yang ada dalam hati aku ni.” Sayu bunyi suara Shahiza.

Maya mengelus lembut pipi temannya. Simpati dengan apa yang baru diluahkan oleh gadis itu. Meski masih kabur dan dia tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan, namun perasaaan gadisnya tiba-tiba ditamu kesedihan. Airmatanya mengacah di tubir mata. Melihat wajah Shahiza yang suram, bagaikan memberitahu gadis itu sedang berada dalam permasalahan.

“Shiza, aku tak fahamlah. Apa sebenarnya yang berlaku? Cuba kau explain sikit pada aku supaya aku faham. Ha! Ni gambar sapa pulak yang duk ada kat sebelah kau?” Pantas tangan Maya mengambil gambar yang berada di sisi temannya. Direnungnya gambar itu.

Macam pernah kulihat gambar ini, tapi di mana ya…? Hatinya berbisik sendiri.
Gambar di tangan ditatapnya kembali. Wajah yang lebih pada Chiness look itu punya personaliti yang menarik. Kacak dengan gaya yang penuh berkarisma, tapi apa kaitan gambar pemuda itu dengan temannya? Jangan-jangan… Direnungnya wajah Shahiza seolah meminta penjelasan.

“Nama dia Aiman Rahimi. Aku rasa kau pun kenal. Dia kan salah seorang daripada member di rehatminda.com. Sebenarnya kami dah berkawan lebih kurang enam bulan, tapi seminggu yang lalu…” Shahiza tidak menghabiskan kata-kata. Air matanya makin deras mengalir. Sebak dan pilu bersatu dalam gumpalan yang sukar diungkai.

“Tapi kenapa, Shiza, apa yang dah berlaku? Apa yang dia dah buat pada kau?” tanya Maya panik bila melihat Shahiza membisu. Soalan yang diajukan terbiar berlalu bersama linangan air mata.

“Dia minta putus.” Perlahan suara Shahiza menahan sendu yang mula menghimpit perasaa.

Terkedu Maya mendengarnya. Perlahan-lahan didakapnya gadis itu. Tiada kata yang mampu diucapkan. Kini fahamlah dia mengapa sejak akhir-akhir ini Shahiza gemar berkurung sendirian di dalam bilik. Rupanya hati gadis itu luka dan kecewa.

“Kenapa dia minta putus pulak? Kau berdua ni bercinta ke?” tanya Maya setelah agak lama mendiamkan diri. Dia masih kabur dengan cerita gadis itu.

Eh! Betul ke minah ni couple dengan mamat di rehatminda? Macam mana aku boleh tak tahu? Dah tu dengan si Aiman pulak. Isy, isy, isy… banyak betul rahsia yang dipendam dek minah sorang ni. Sempat dia mengomel di dalam hati.

“Aku sendiri tak tahu kenapa dia buat macam tu. Puas aku tanya dan minta dia jelaskan, tapi entahlah. Kalau dia ada masalah sekalipun mengapa dia tak mau cerita? Yang lebih meremukkan hati aku alasan dia buat keputusan tu semata-mata kerana nak lihat aku bahagia dan gembira. Aku bingung, Maya. Bila aku tanya, dia membisu. Adilkah itu, Maya?

“Dah banyak perkara yang kami kongsi sepanjang persahabatan kami dan sekarang aku rindu sangat pada dia. Aku dah tak tahu formula apa lagi yang harus aku gunakan untuk menolak rasa ni. Aku sayangkan persahabatan yang terjalin di antara kami tu, Maya,” luah Shahiza dalam esak tangisnya.

Biarlah Maya tahu apa yang dialaminya. Apa yang selama ini tersemat kejap di sanubarinya. Biarlah air mata menjadi saksi betapa pilu hatinya dengan keputusan yang dibuat oleh anak muda itu. Betapa anak muda itu tega mencantas tunas kasih sayang yang baru bercambah di hatinya tanpa belas.

Maya terkedu. Selama ini Shahiza bijak menyembunyikan segala rasa hati. Tidak terlihat di wajah akan keperitan perasaan yang ditanggungnya, tapi kini… Perlahan-lahan Maya melepaskan keluhan.

“Kau dah cuba call dan cakap dengan dia? Mungkin sekarang ni dia dah cool dan boleh terangkan pada kau kenapa dia buat tindakan bodoh macam tu,” usul Maya lembut. Diharap cadangannya itu dapat membantu permasalahan yang sedang dihadapi oleh temannya itu.

“Nak cakap macam mana, kalau panggilan aku pun dia tak mau jawab. Aku dah tak tau apa nak buat lagi.” Pilu hati gadis itu mengungkap kata bila mengenangkan bagaimana tergamaknya Aiman Rahimi membiarkan panggilannya sepi tanpa jawapan. Hatinya benar-benar sedih. Terasa bagaikan dirinya langsung tidak bermakna buat anak muda itu.

“Shiza, sabarlah. Aku faham perasaan kau. Memang tak patut dia buat kau macam ni. Kalau benar dia tak mau kawan lagi dengan kau, ceritalah elok-elok. Bukan suka-suka hati dia saja buat keputusan macam ni. Apa punya oranglah! Akal letak dekat lutut. Harap muka aje spesis handsome tapi hati… erm, hampeh,” bebel Maya sambil meletakkan kembali gambar itu.

Shahiza sekadar membisu. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. Hati yang sedih semakin pilu bila matanya menyapa wajah yang terpotret di sisinya.

“Apa pun aku heranlah pulak. Macam mana yang kau boleh rapat sangat dengan mamat ni? Tak pernah pun kau cerita kat aku?” soal Maya sambil merenung wajah temannya yang masih basah dengan air mata. Selama ini disangka gadis itu punya hubungan dengan si Pinatubo, tapi ternyata serkapnya tidak mengena.

Melihatkan gadis itu diam, Maya sedar tidak mungkin dia dapat membuka mulut comel itu untuk mengungkap penjelasan. Disapa lembut wajah yang masih membiaskan air mata. Sedih dengan nasib yang menimpa temannya itu. Tidak disangka, dalam kelembutan tutur kata dan redup pandangan, rakannya memendam perasaan yang maha hebat.

0 Ulasan: